Rose Chan, ratu penari bogel Malaya, dalam kenangan

Rose Chan penghibur Malaysia era zaman Tanah Melayu yang menakjubkan dengan persembahannya yang tersendiri. (Gambar Pinterest)

Nama “Rose Chan” memang tidak dikenali langsung dalam kalangan anak muda zaman sekarang.

Namun bagi generasi warga emas, sebut sahaja “Rose Chan” sudah pasti jantung akan berdebar debar mengenangkan kecantikan dan persembahan yang sememangnya mempesonakan.

Rose, pada suatu ketika di zaman awal Tanah Melayu, digelar “ratu penari bogel”.

Persembahannya yang sangat galak amat terkenal, menyebabkan lelaki dari seluruh negara berpusu-pusu ke pertunjukkannya.

Namun siapa sangka di sebalik penampilannya yang memukau dan persembahan atas pentas yang luar biasa, Rose tidak dilupakan kerana jasa dan sifat pemurahnya.

Beliau juga dikenali sebagai “ratu amal”, sering menyumbangkan hasil persembahannya kepada badan amal, selalunya tanpa menyatakan nama.

Hari ini genap 33 tahun Rose meninggal dunia selepas menderita barah pada 26 Mei 1987.

Tetapi hingga ke hari ini, sebut sahaja namanya pasti menimbulkan satu perasaan dalam kalangan generasi warga emas.

Dilahirkan sebagai Chan Wai Chang, Rose Chan seorang penari profesional yang sangat berbakat di awal kariernya. (Gambar Pinterest)

Cecil Rajendra, kawan kepada Rose dan juga seorang peguam, dihubungi FMT bagi menyingkap sisi tersembunyi “ratu penari bogel” itu.

“Rose Chan artis pertama di rantau ini yang masyhur di peringkat antarabangsa. Dia diakui sebagai ‘ratu penari bogel Asia’,” kata Cecil.

Rose begitu mahir dalam seni tarian bogel sehinggakan beliau mewakili negara dalam pertandingan tarian bogel di Paris, serta berkhidmat sebagai pelatih tarian bogel di Jepun.

Menurut Cecil, lagu hit, “Rose, Rose, I love you” sebenarnya ditulis untuknya.

Dilahirkan sebagai Chan Wai Chang di Suzhou, China, Rose dibawa ibu angkatnya ke Kuala Lumpur ketika berusia 6 tahun pada 1931.

Karier Rose Chan berubah apabila baju dalam yang dipakai ketika itu tertanggal. (Gambar Pinterest)

Beliau melalui zaman kanak-kanak yang sukar, membuat pelbagai kerja rencam kerana tidak dapat menghabiskan persekolahan, dan pada usia semuda 16 tahun dikahwinkan dengan lelaki yang lebih tua daripadanya.

Sebelum beliau menceburi bidang tarian bogel, Rose sebenarnya seorang penari ballroom, mahir dalam seni tarian tango, cha-cha, dan samba.

Dua tahun selepas menang pertandingan tarian di Singapura pada 1949, Rose mengasaskan syarikat persembahan tarian tersendiri, The Rose Chan Revue.

“Dia seorang profesional yang lengkap; penari, penghibur, inovator, dan usahawan,” kata Cecil.

“Dia mengurus, mereka, dan beraksi dalam pertunjukannya.”

Bagaimanapun, tidak lama kemudian segalanya berubah sekelip mata secara tidak sengaja.

Sepanjang hidupnya, Rose Chan seorang dermawan yang banyak berjasa kepada banyak badan amal. (Gambar Pinterest)

Dalam satu pertunjukkan di Ipoh, secara tiba-tiba butang branya tertanggal semasa dia sedang membuat persembahan.

Melihat kepada sambutan luar biasa, Rose membuat keputusan untuk mencipta semula dirinya sebagai seorang artis tarian bogel.

Bagi ramai anak muda hari ini, memikirkan persembahan ekplisit seperti itu pernah dipersembahkan di negara ini sesuatu yang sukar diterima.

Tetapi Cecil berkata Rose bukan penghibur haram. Semua persembahannya dibuat secara sah di tempat-tempat yang dibenarkan serta iklan di akhbar nasional.

Cecil berkata Rose menjadi terkenal dengan caranya kerana masyarakat Tanah Melayu ketika zaman Tunku Abdul Rahman jujur, berfikiran terbuka, dan bebas.

Jika tarian bogel biasa dipersembahkan ketika itu, apa yang membuatkan Rose dikenali sebagai ratu tarian bogel?

Cecil menjelaskan bakat menjadikan persembahan rose lebih hebat berbanding persembahan lain ketika itu.

Rose, katanya, juga mengambil ilham daripada penari hebat Hollywood seperti Gene Kelly, Fred Astaire, dan Ginger Rogers.

“Dia betul-betul benci penari bogel yang tidak pandai menari – menggelar mereka tiada standard.”

Meskipun ramai lelaki tergila-gilakannya, hubungan tidak berpanjangan; Rose pernah berkahwin 5 kali.

Menyifatkan masyarakat Malaysia dulu dan sekarang sebagai cuvanis, Cecil menganggap Rose sebagai seorang “feminis ultra”.

“Dia berani dan tidak tunduk pada mana-mana lelaki. Barangkali dia feminis pertama di Tanah Melayu!.”

Personaliti Rose meninggalkan kesan pada Cecil. “Di luar pentas, dia seorang yang baik hati, mesra, dan pintar berjenaka. Tetapi dia juga boleh jadi garang dan dominan.”

Beliau akan berterus-terang apabila menyuarakan pandangannya dan tidak boleh terima perkara bukan-bukan yang membazirkan masa.

Selain bakat menari, Rose juga pandai memasak. Beliau juga selalu menganjurkan pertunjukkan untuk mengutip dana bagi badan-badan amal. Sebahagian pendapatannya didermakan untuk kebajikan, dan dia tidak perlu pengiktirafan untuk kerja-kerja itu.

Bagi Cecil, Rose orang yang perlu dikenang kerana beliau menjadikan Tanah Melayu terkenal.

“Seorang feminis, perintis tarian, ratu tarian bogel, dan demi seks – Rose Chan ikon antarabangsa kita yang pertama,” kata Cecil.

“Padanya ada sifat-sifat yang menjadikan seorang lagenda.”

“No Bed of Roses: The Rose Chan Story” karya Cecil Rajendra boleh dibeli di Gerakbudaya.com dan MPHOnline.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]