
PETALING JAYA: Pemilik sebilangan hotel terbaik di Kuala Lumpur menawarkan hartanah mereka untuk jualan sewaktu wabak Covid-19 terus melumpuhkan industri pelancongan dan perhotelan.
Pengarah eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia Shaharuddin M Saaid berkata, ramai pemilik hotel mahu menjual hartanah mereka kerana ketiadaan pendapatan susulan sekatan perjalanan di seluruh dunia.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata, kira-kira 20 hotel telah ditutup, selain menambah bahawa ia bukanlah perkembangan yang memeranjatkan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan, beberapa hotel yang tidak dinamakan, termasuk hartanah 5-bintang, disenaraikan untuk dijual di iproperty.com.my.
Harga tawaran bagi hotel 5-bintang di pusat bandar raya bermula dari RM350 juta sehingga RM1.7 bilion.
Shaharuddin berkata, ada sebilangan pemilik hotel membuat persiapan untuk menjual hartanah mereka sebelum bermulanya wabak Covid-19, sementara yang lain menyenaraikan hartanah mereka untuk mengukur harganya.
“Namun kesan Covid-19 sangat cepat dan ramai pengusaha terpaksa meninggalkan industri,” katanya, selain menambah bahawa pemain industri menjangka tempoh pemulihan akan mengambil masa antara 6 bulan hingga 1 tahun.
“Kita tidak boleh bergantung pada pelancongan antarabangsa kerana negara lain juga berdepan kesan virus tersebut, sementara aktiviti penerbangan pula disekat.
“Dari segi pelancongan domestik, angkanya tidak begitu baik, terutamanya jika anda bercakap tentang hartanah harga tinggi kerana pendapatan banyak orang tergugat.”
Hotel juga berdepan sekatan dan tidak dibenarkan beroperasi penuh.
“Kita tidak boleh menjadi tuan rumah bagi mesyuarat atau acara, dan terdapat sekatan ke atas sajian makanan di hotel. Anda juga tidak boleh menggunakan kolam renang atau gimnasium. Siapakah yang akan menginap di hotel (jika begini)?”
Shaharuddin berkata, mereka yang membeli hotel yang kini dijual mahu mengubahnya menjadi apartmen dan bangunan perniagaan.
“Semuanya bergantung pada pemilik baru. Saya percaya pembeli tidak akan menggunakannya sebagai hotel berdasarkan keadaan (sekarang).”
Bekas presiden persatuan pemilik hotel, Cheah Swee Hee berkata, beliau tidak terperanjat sekiranya pemilik hotel menjual hartanah mereka, selain menegaskan bahawa masalahnya tidak disebabkan oleh wabak Covid-19 semata-mata.
Beliau memberitahu FMT bahawa kemampanan industri perhotelan pernah dipersoalkan sebelum ini susulan lebihan bilik berikutan kehadiran khidmat perkongsian rumah seperti Airbnb dan sewaan hartanah secara harian.
“Banyak hartanah yang beroperasi seperti hotel dan boleh disewa secara harian, tetapi ia tidak dianggap sebagai sebahagian daripada bilik hotel yang terdapat di sesebuah negeri atau negara.
“Jadi kita sebenarnya tidak tahu bilangan bilik yang ada. Akibatnya wujud lebihan bekalan bilik.”