Sekatan jalan raya diperketat, tiada percubaan rentas negeri, kata Bukit Aman

Polis mengadakan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah utara dan pantai timur di Plaza Tol Jalan Duta dan Gombak bagi mengenal pasti orang awam yang mungkin melepasi sekatan sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua Syawal semalam, tiada lagi percubaan oleh pengguna lebuh raya untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata, kebanyakan orang awam yang menggunakan lebuh raya semalam hanya bagi pergerakan dalam negeri.

“Kebanyakan kenderaan bergerak di dalam negeri dan daerah yang sama sahaja iaitu di bawah kawalan. Walaupun tiada percubaan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya diperketatkan juga,” katanya.

Tinjauan di plaza tol utama ibu negara iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak mendapati ketiga-tiganya dalam keadaan lancar selain tidak terlalu sibuk.

Azisman berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol berjalan lancar termasuk yang diadakan sekatan jalan raya.

“Aliran trafik di ketiga-tiga sekatan jalan raya di plaza tol tersebut berjalan lancar, tiada kesesakan dan jumlah kenderaan sederhana,” katanya.

Selain itu, tinjauan mendapati pihak berkuasa turut menjalankan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah utara dan pantai timur iaitu di Plaza Tol Jalan Duta dan Gombak.

Difahamkan polis berbuat demikian bagi mengenal pasti mereka yang mungkin melepasi sekatan jalan raya sebelum ini.