Singapura unjur ekonomi kuncup hingga 7% akibat Covid-19

Berikutan wujudnya ketidaktentuan yang signifikan kepada ekonomi global, unjuran bagi ekonomi Singapura mengalami penurunan sejak Mac lepas. (Gambar AP)

SINGAPURA: Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura merendahkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu antara -7.0 dan -4.0% tahun ini berbanding -4.0 dan -1.0% sebelum ini.

Ini berikutan kemerosotan prospek permintaan luaran bagi republik itu, selain jangkaan impak ekonomi daripada langkah pemutus rantaian, menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Di sebalik penurunan itu MTI berkata, wujud ketidakpastian yang berterusan mengenai tempoh dan impak buruk penularan Covid-19 serta trajektori pemulihan ekonomi bagi Singapura dan di peringkat global.

Menurut kementerian berkenaan, ekonomi republik itu menguncup 0.7% berdasarkan asas tahun ke tahun pada suku pertama berbanding pertumbuhan 1.0% pada suku sebelumnya.

Ia berkata, berdasarkan asas musim terlaras tahunan suku-ke-suku, ekonomi Singapura merosot 4.7%, susut daripada pengembangan 0.6% pada suku ke-4 tahun lepas.

Bagaimanapun 3 sektor mencatat pertumbuhan pada suku itu, iaitu pembuatan; maklumat dan komunikasi; serta kewangan dan insurans.

Sektor pembuatan berkembang 6.6% tahun ke tahun berbanding penguncupan 2.3% pada suku terdahulu.

Pertumbuhan itu disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran dalam kluster pembuatan bioperubatan dan kejuruteraan tepat atau perincian yang mengimbangi penyusutan output pengeluaran dalam kluster elektronik dan bahan kimia.

Sektor maklumat dan komunikasi pula tumbuh 3.5% tahun ke tahun, manakala sektor kewangan dan insurans berkembang 8.0% tahun ke tahun.

Bagaimanapun sektor pembinaan menguncup 4.0% tahun ke tahun, diikuti sektor pengangkutan dan penyimpanan yang berkurangan 8.1%.

Dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan pula, sektor pengangkutan udara mengalami kelembapan disebabkan penurunan ketara jumlah pelanggan yang dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi akibat sekatan pergerakan di peringkat global bagi membendung penularan Covid-19.

Malah segmen pengangkutan air dan darat turut menguncup di tengah-tengah pertumbuhan yang lembap dalam jumlah pengendalian kargo dan permintaan domestik yang berkurangan ke atas pengangkutan awam.

Menurut MTI, berikutan wujudnya ketidaktentuan yang signifikan kepada ekonomi global, unjuran bagi ekonomi Singapura mengalami penurunan sejak Mac lepas.

Bagaimanapun kementerian itu berkata, ekonomi Singapura dilihat berdaya tahan dalam sektor pembuatan serta maklumat dan komunikasi.