Taska khas untuk anak petugas barisan depan selaras SOP negara luar

Kerajaan sedang membuat kajian mengenai penyediaan taska khas untuk anak-anak petugas barisan depan.

KUALA LUMPUR: Penyediaan taska khas kepada anak-anak petugas barisan hadapan yang sedang dikaji Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya pasukan kesihatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di negara luar.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Dr Jemilah Mahmood berkata SOP itu dilihat melalui amalan terbaik yang dilaksanakan Centre for Disease Control, di Amerika Syarikat serta United Kingdom.

“Di sana ada disebut tumpuan harus diberi keberatan kepada anak anak petugas kesihatan. Kerana mereka perlu kerja di barisan hadapan dan anak-anak mereka perlu dijaga dengan baik.

“Jadi, dalam menyediakan taska dan sebagainya memang kita perlu wujudkan penjarakkan sosial, penjagaan kebersihan dan sebagainya untuk semua anak-anak. Kalau ada keupayaan, penyediaan tempat khas untuk anak-anak barisan hadapan ini juga harus tidak jauh dari hospital supaya mereka boleh kerja dengan selesa dan mengetahui anak mereka selamat,” katanya dalam temu bual Skype di Buletin Bernama hari ini.

Jemilah mengulas pertanyaan berhubung dakwaan wujudnya diskriminasi terhadap anak-anak petugas barisan hadapan khususnya kakitangan hospital di taman asuhan kanak-kanak (taska), sebaliknya mereka hanya ditempatkan di ruang khas.

Semalam juga Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut mengulas langkah itu dilaksanakan selari dengan kedudukan kanak-kanak berkenaan sebagai kumpulan berisiko.

Jelas Jemilah yang juga pakar perubatan dan pengendalian bencana, dari segi SOP KKM mengenal pasti beberapa kumpulan yang dianggap berisiko lebih tinggi antaranya kumpulan tabligh, pelajar tahfiz, pekerja asing dan pekerja kesihatan di barisan hadapan.

Mengulas lanjut, Jemilah turut menyifatkan penggunaan perkataan diskriminasi terhadap anak-anak barisan hadapan itu juga dilihat terlalu keras.

“Itu bukan yang sepatutnya digunakan dan saya rasa SOP (taska) ini akan diperincikan lagi dan kita melihat bagaimana kita boleh lindungi anak-anak barisan hadapan kesihatan ini supaya mereka dijaga dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Jemilah berkata kemudahan sistem perkhidmatan kesihatan negara antara yang terbaik di dunia dan jelasnya, KKM mampu menampung jumlah pesakit sekiranya wujud gelombang baru Covid-19.

“Malaysia mempunyai perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia. Saya dah merata bekerja dalam kawasan epidemik dan pandemik. Saya rasa yakin dengan KKM dan penjagaan kesihatan kita.

“Buat masa ini juga, penggunaan wad-wad di KKM yang memang khas untuk Covid-19 berada dalam tahap 15% ke bawah. Bermakna KKM boleh menampung keperluan lebih kalau ada gelombang baru pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat Malaysia untuk turut sama-sama bekerjasama membantu kerajaan dalam mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19 ini.

“Kita sebagai rakyat, kalau kita tengok orang sesak, kita harus tegur untuk jaga kesihatan diri kita dan orang ramai. Kita sudah dewasa dan harus ambil tahu apa yang patut dibuat.

“Ia bukan sahaja memerlukan usaha daripada kerajaan dan swasta, tetapi semua orang. Jadi, rakyat sendiri harus terima kehidupan kita semua tidak akan macam biasa. Kita harus hidup dengan disebutkan norma baru. Kita harus ambil langkah pencegahan menjarakkan diri 1 meter, dan kalau boleh di tempat awam kita gunakan penutup hidung dan mulut,” katanya.