5 remaja antara 8 dikompaun RM1,000 kerana main futsal

Sekumpulan individu bermain futsal melarikan diri hingga meninggalkan motosikal serta barang-barang peribadi selepas menyedari kehadiran polis.

KUALA BERANG: Gara-gara bermain futsal, 8 lelaki termasuk 5 remaja berusia 15 hingga 16 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata ketika kejadian tersebut, semua mereka melarikan diri apabila sedar kehadiran pihak polis.

“Mereka didapati melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pukul 10 malam tadi di sekitar Jalan Kampung Binjai Kertas, di sini. Semasa polis menghampiri kumpulan tersebut, mereka melarikan diri hingga sanggup meninggalkan motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit.

“Pihak polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap motosikal yang ditinggalkan dan membawanya ke Balai Polis Kuala Berang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adli berkata kira-kira pukul 1 pagi tadi, 8 lelaki terbabit tampil ke balai polis untuk menyerah diri dan masing-masing kemudian dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit).

“Mereka yang dikenakan kompaun perlu membuat pembayaran dalam tempoh masa 14 hari dan jika gagal membuat bayaran dalam tempoh diberi, pendakwaan di mahkamah akan dibuat tanpa notis selanjutnya,” katanya.