9 lelaki barbeku di belakang pangsapuri didenda RM1,000

9 lelaki ditahan ketika mengadakan barbeku di belakang sebuah pangsapuri di Kota Damansara. (Gambar polis PJ)

PETALING JAYA: Sembilan lelaki berusia antara 20 dan 23 tahun masing-masing didenda RM1,000 setiap seorang kerana berkumpul untuk barbeku di belakang sebuah pangsapuri di Kota Damansara malam tadi.

Ketua Polis daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata semua lelaki terbabit, yang juga warganegara Malaysia, melanggar Peraturan 7(1) di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai tindakan boleh diambil kerana tidak mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun aktiviti ekonomi dan sosial tertentu dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), perhimpunan awam masih dilarang.

Orang ramai juga harus mematuhi peraturan penjarakkan sosial untuk mencegah penularan Covid-19.

Bagaimanapun, awal petang tadi, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata polis mengeluarkan kompaun kepada 534 orang kerana melanggar PKPB.

Daripada jumlah tersebut, 25 membabitkan ziarah ketika Hari Raya.