KPDNHEP: 627 kes kesalahan kawalan harga bernilai RM26 juta sepanjang PKP

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP melakukan 1,365 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPB.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka 627 kes berhubung kesalahan di bawah pelbagai akta seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan nilai rampasan berjumlah RM26,267,310.57.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 470 kes dikompaun sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKPB berjumlah RM375,850.00.

“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya Aidilfitri mula dikuat kuasakan pada 20 Mei sehingga 3 Jun 2020 (15 hari) di seluruh negara bagi membantu mengawal manipulasi harga dan keberadaan bekalan barangan keperluan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan sepanjang musim perayaan kerana ianya dijamin mencukupi,” katanya pada sidang media hariannya.

Ismail berkata semalam, pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,365 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Katanya, pemeriksaan KPDNHEP mendapati 1,202 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sebanyak 160 premis diberi nasihat dan 3 premis lagi diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP,” katanya.

25 kompaun ziarah Aidilfitri

Ismail berkata polis mengeluarkan 25 kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri semalam dan mengeluarkan kompaun kepada 534 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.

“Sebanyak 268 kompaun dikeluarkan di lapangan, yang mana 257 dikeluarkan di sekatan jalan raya.

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk mengenakan kompaun.”

Ismail berkata sebanyak 824 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik oleh polis berbanding 738 pada hari sebelumnya.

Beliau berkata negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor sebanyak 284 dan ikuti Kedah (122) dan Melaka (113).

“Semalam polis menahan 136 individu yang mana 75 individu direman dan 61 individu dijamin atas kesalahan ingkar PKPB.

“Polis juga mengenakan 155 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 127,672 kenderaan,” katanya.