Mangsa keracunan puding buih bertambah, 1 di ICU

Dr Nor Azimi Yunus (2 dari kanan) melawat seorang mangsa keracunan makanan, Siti Hasnah Mustafa (2 dari kiri) yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Seramai 25 lagi orang dilaporkan mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada puding buih, setakat 12 tengah hari tadi, menurut Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang mengalami keracunan di 2 daerah Terengganu meningkat kepada 99 orang.

Beliau berkata, daripada 99 kes yang membabitkan 20 keluarga berlainan itu, 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu, manakala 22 lagi dari Marang.

“Daripada 99 pesakit itu, seramai 35 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), termasuk seorang di unit rawatan rapi (ICU).

“Sepuluh pesakit dimasukkan ke hospital swasta dan 23 pesakit menerima rawatan pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azimi berkata, baki 31 lagi pesakit dalam kalangan ahli keluarga masing-masing yang turut dikesan mengalami simptom keracunan, namun tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Semalam, media melaporkan 74 individu mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih dibeli dalam talian pada 22 Mei lalu.

Kebanyakan mangsa mengalami simptom sama iaitu cirit-birit, muntah dan demam.

Mengulas lanjut, Azimi berkata, 12 pesakit dibenarkan pulang ke rumah hari ini menjadikan jumlah pesakit yang masih dirawat di HSNZ ialah 24 orang, manakala 9 lagi masih dirawat di hospital swasta.

“Semua pesakit yang masih dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, pesakit yang dirawat di ICU kini dilaporkan tenat.”