Mohon dana antarabangsa bantu lindungi hutan, SAM beritahu Kedah

Hutan Ulu Muda merupakan kawasan tadahan hujan bagi bekalan air lebih 4 juta pengguna di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa Kedah supaya memohon dana antarabangsa melalui kerajaan pusat bagi membantunya memulihara hutan, bukannya memberikan hutan ganti kepada syarikat konsesi pembalakan.

Ini berikutan kenyataan negeri itu semalam bahawa ia kini menimbangkan pilihan itu bagi mengelak daripada membayar pampasan kira-kira RM1 bilion selepas penarikan balik konsesi di rizab hutan kekalnya.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, dana antarabangsa daripada Green Climate Fund, Adaptation Fund dan Global Environment Facility boleh membantu negeri seperti Kedah memulihara hutan dan tidak membenarkan ia ditebang untuk tujuan pembalakan.

“Dana ini adalah untuk tujuan perlindungan hutan dan boleh diakses dengan sokongan kerajaan pusat.

“Kerajaan persekutuan mesti mengakses dana ini dengan segera dan menyalurkannya kepada kerajaan negeri yang kaya dengan sumber hutan seperti Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia memenuhi komitmen antarabangsanya di bawah Perjanjian Paris dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).

Beliau juga menggesa supaya hutan tadahan hujan Ulu Muda dan kawasan sekitarnya dilindungi kerana kepentingannya sebagai sumber air mapan bagi pengguna di Kedah dan juga Perlis serta Pulau Pinang.

Rizab hutan Ulu Muda membekalkan keperluan air kira-kira 4.09 juta orang di 3 negeri itu. Kira-kira 96% air mentah di Kedah, 70% di Perlis dan 80% di Pulau Pinang berpunca dari Ulu Muda.

Dalam pada itu Meenakshi berkata, kerajaan Kedah perlu mewartakan hutan terbabit sebagai hutan tadahan hujan sekiranya ia belum berbuat demikian.

“Jika tidak, kita akan berdepan krisis air yang serius pada tahun-tahun akan datang, terutamanya kerana kesan perubahan iklim.

“Kita tidak seharusnya mengundang bencana pada masa depan, termasuk jangkaan perubahan iklim dan krisis air yang berpunca daripada pemusnahan baki hutan dan biodiversiti kita.”

Semalam Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sedang menimbangkan untuk memberi hutan ganti yang dikategorikan sebagai hutan pengeluaran kepada syarikat konsesi pembalakan selepas sebahagian daripada hutan Ulu Muda diwartakan sebagai hutan tadahan hujan.

Jika tidak katanya, Kedah mungkin berdepan tindakan undang-undang daripada syarikat pembalakan, selain tuntutan pampasan bernilai kira-kira RM1 bilion.