2 pemimpin PPBM pertikai keahlian Dr M, 4 ahli Parlimen digugurkan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail Mustafa (kiri) dan Timbalan Ketua Pemuda, Mohd Aizad Roslan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti mempertikaikan tindakan PPBM menggugurkan keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 ahli Parlimen lain, manakala seorang pemimpin Pemuda PPBM mempertahankan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih ketua sayap itu.

Kenyataan mereka menambah kekeliruan yang menyelubungi isu pengguguran 5 ahli Parlimen itu dan pergelutan 2 puak dalam pucuk pimpinan PPBM, di mana satu daripadanya diketuai Mahathir dan satu lagi oleh Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Surat yang ditujukan kepada Mahathir, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah menyatakan keahlian mereka dalam PPBM dihentikan serta-merta kerana mereka duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Katanya, tindakan diambil mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM yang menyatakan ahli boleh dipecat serta-merta jika mereka mengisytiharkan keluar parti atau menyertai parti politik lain.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Tariq Ismail Mustafa berkata perlembagaan parti hanya melarang ahlinya bertanding menggunakan logo parti lain.

Tetapi, katanya, susunan tempat duduk di Parlimen bukan mengikut parti, sebaliknya berdasarkan sokongan ahli Parlimen itu secara individu terhadap kerajaan sedia ada.

“Hanya kerana selama 62 tahun sokongan terhadap seseorang perdana menteri dianggap ‘en bloc’ mengikut parti, tidak bermakna ini cara demokrasi patut diamalkan.

“Hanya kerana semua bekas PM sebelum ini mendapat kepercayaan penuh seluruh anggota parti mereka, tidak bermaksud Perlembagaan negara dan parti melarang percanggahan sokongan akan kepimpinan mutlak negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mendakwa penyokong kerajaan Perikatan Nasional dalam PPBM “terlalu terdesak” sehingga menyalah tafsir peraturan, undang-undang dan perlembagaan hanya kerana mereka “tamakkan kuasa”.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PPBM, Mohd Aizad Roslan berkata tiada mesyuarat yang diadakan parti untuk membincangkan status Syed Saddiq dan Lembaga Disiplin parti juga tidak pernah memanggil ketuanya.

Katanya, Syed Saddiq sendiri memaklumkan beliau tidak menerima sebarang surat atau makluman rasmi berhubung keahliannya digugurkan.

“Saya ingin menegaskan Syed Saddiq masih ahli PPBM yang sah dan ketua Pemuda,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sebagai sebuah parti politik yang sah berdaftar di Malaysia, setiap satu keputusan perihal kedudukan ahli dalam parti harus diurus mengikut prosedur dan perlembagaan parti.”