22 lelaki main bola keranjang, merempit dikompaun RM1,000

Polis Pulau Pinang menahan 22 lelaki ingkar PKPB dengan bermain bola keranjang dan merempit.

BUTTERWORTH: Gara-gara bermain bola keranjang dan berlumba haram, 22 lelaki dikenakan kompaun RM1,000 seorang kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam operasi penguatkuasaan berasingan di Taman Teratai Indah dan Jalan Penaga, Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor berkata sepasukan polis yang membuat pemantauan penguatkuasaan PKPB pada 6 petang semalam mendapati sekumpulan 15 lelaki berusia 18 hingga 25 tahun bermain bola keranjang di gelanggang dalam kawasan perumahan berkenaan.

“Pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi swasta itu didapati melanggar arahan PKPB dengan berkumpul beramai-ramai melakukan akitiviti sukan. Sebelum ini polis sudah memberi amaran kepada mereka dan ini adalah kali kedua mereka bermain bola keranjang di situ,” katanya, hari ini.

Sementara itu, 7 mat rempit berusia 13 hingga 24 tahun, termasuk 4 pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal tanpa lesen dan tiada cukai jalan, didapati berkumpul di sebuah stesen minyak di Jalan Penaga, Kepala Batas, dipercayai berlumba haram turut dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

Menurut Noorzainy, polis menerima maklumat mengenai sekumpulan mat rempit berlumba haram dan melakukan aksi tunggangan motosikal berbahaya di kawasan itu, sebelum sepasukan polis ke lokasi bagi membuat pemantauan samseng jalanan pada 6.40 petang semalam.

“Tujuh buah motosikal milik mat rempit tersebut turut disita kerana pelbagai kesalahan termasuk ubah suai keterlaluan serta tiada cukai jalan,” katanya, sambil menambah polis turut mengeluarkan 36 saman dalam pemantauan samseng jalanan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.