3 negara terima penghantaran pulang PATI

Kerajaan berharap kedutaan asing bekerjasama dengan Malaysia bagi menghantar pulang rakyat mereka.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini 3 negara menerima penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka.

Ismail berkata 3 negara tersebut ialah Indonesia, Nepal dan Bangladesh.

“Saya ucap terima kasih 3 negara ini iaitu melalui wakil mereka di kedutaan mereka di sini.

“Mereka positif dan berharap kedutaan lain ikut kerjasama kerajaan Malaysia hantar pulang rakyat mereka yang disaring negatif Covid-19,” katanya pada sidang media hariannya.

Ismail berkata Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra akan berbincang dengan rakan sejawat di 3 negara tersebut bagi urusan penghantaran pulang.

Katanya, Wisma Putra juga menghantar nota kepada semua kedutaan yang mana rakyat mereka berada di depot tahanan imigresen.

Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan semua 4,399 PATI yang berada di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA telah selesai menjalani saringan Covid-19.

Katanya, setakat ini hanya 13 PATI di Depoh Semenyih masih menunggu keputusan.

Ismail berkata turut disaring ialah 353 pegawai dan kakitangan depoh tahanan terbabit, yang mana 1 kakitangan Depoh Tahanan Imigresen Semenyih didapati positif Covid-19.

“Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Maeps, Serdang mula beroperasi bagi merawat PATI yang didapati positif Covid-19.

“Sehingga semalam, seramai 354 PATI dari Depoh Imigresen Bukit Jalil (305), Semenyih (45) dan KLIA (4) sedang menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan ini,” katanya.

Ismail berkata sejak pusat kuarantin dan rawatan ini dibuka untuk merawat PATI, seramai 370 PATI menerima rawatan dan 16 telah discaj.

Ismail berkata dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 327 PATI dan 41 tekong ditahan kerana mencuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus.

Katanya, turut ditahan 7 individu yang disyaki penyeludup serta 7 kapal.

“Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 86 PATI, 3 tekong serta 3 kapal yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara.

“Operasi Benteng juga berjaya menahan 1,515 warganegara asing yang menceroboh sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata warga asing yang tamat visa dan pas lawatan tidak akan diambil tindakan.

Katanya, ini berikutan sebelum ini, pejabat imigresen ditutup sejak PKP 1 lagi.

“Kalau mahu pulang ada 2 pilihan pertama mereka sampai ke lapangan terbang hanya perlu tunjuk tiket penerbangan pulang dan kita lepaskan mereka pulang walaupun visa dah tamat tempoh.

“Kalau mereka ingin tinggal lama kerana dan tamat tempoh, mereka perlu buat temu janji untuk perbaharui visa mereka. Perlu buat permohonan secara dalam talian untuk buat temu janji bagi tetap tarikh untuk perbaharui visa mereka,” katanya.

Ismail berkata ia termasuk bagi pas lawatan sosial.

“Sama saja dengan visa tamat tempoh. Pas lawatan sosial dah tamat tempoh boleh tinggal di negara kita,” katanya.