Ia pemecatan salah, langgar undang-undang, kata Dr M dan 4 ahli Parlimen

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad dan 4 ahli Parlimen lain menolak tindakan PPBM menggugurkan keahlian mereka yang disifatkan pemecatan salah bertentangan undang-undang.

Mahathir bersama Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah dalam kenyataan bersama malam ini, mendakwa pemecatan tanpa sebab itu ialah tindakan sebelah pihak Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang bimbang dengan pemilihan parti pada bulan depan.

“Kegusaran beliau dalam menghadapi pemilihan parti serta posisi beliau yang tidak selamat selaku perdana menteri yang paling tidak stabil dalam sejarah pentadbiran negara kita.

“Pejabat presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara.

“Ini juga menampakkan sikap diktator presiden,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Terdahulu, surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya menyatakan keahlian 5 ahli Parlimen itu dalam PPBM dihentikan serta-merta kerana mereka duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu.

Katanya, tindakan terhadap 5 pemimpin itu diambil mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM.

Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti, manakala Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.

Lima pemimpin itu menyifatkan tindakan parti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM sebagai dangkal dan tidak munasabah.

Katanya, mereka hanya melaksanakan apa yang dibenarkan undang-undang dan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai ahli Parlimen yang sah.

“Surat diutus kepada kami juga pada zahirnya menampakkan kecelaruan urusetia PPBM kini.

“Ia ditandatangani individu yang tidak diberi kuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan PPBM ditadbir secara profesional.

“Tindakan seorang setiausaha kerja yang mengutus surat sebegini antaranya kepada pengasas parti sendiri sangat menjelikkan serta biadab.”

Mereka berkata, pemecatan itu secara tidak langsung menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan, iaitu hak yang dijamin di bawah prinsip undang-undang.

Katanya, mereka mempunyai hak mengambil tindakan undang-undang untuk membela diri dan memastikan kesejahteraan semua ahli PPBM.

“Kami akan memastikan PPBM kembali ke landasan betul dan tidak lagi dijadikan wahana pacuan sesetengah pihak yang hanya tamakkan kuasa dan kedudukan.

“Kepada ahli Parlimen PPBM lain, kami menyeru dan memanggil anda, lihat apa yang berlaku pada parti kita sendiri, hilang kuasa di negeri-negeri dan menjadi bahan mainan parti yang dulu kita tentang bersama.”