Kerajaan bertukar punca projek Lebuhraya Pan Borneo lewat, kata timbalan menteri

Projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,236 kilometer, diharap menjadi nadi penting penggerak ekonomi negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Pertukaran kerajaan pada 2018 menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, kata Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan berkenaan menyebabkan penyelia pelaksana projek beralih tangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sepenuhnya.

“Untuk fasa 1 yang melibatkan 11 pakej iaitu sejauh 706 kilometer bermula dari Sindumin-Kota Kinabalu- Batu 32 Sandakan-Tawau dan juga jalan pesisir pantai dari Tuaran ke Kudat, yang kini sepatutnya 32% siap.

“Namun disebabkan masalah berkenaan, kini terdapat kelewatan dan projek berkenaan, hanya mencapai 21.2%,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Lebuhraya Pan Borneo yang dirancang adalah sejauh 1,236 kilometer, dan ia sudah semestinya menjadi nadi penting penggerak ekonomi negeri Sabah.

Timbalan menteri kewangan Abdul Rahim Bakri.

Sehubungan itu Abdul Rahim berharap, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan pelaksanaannya projek berkenaan.

“Beliau berpengalaman dalam mengendalikan projek ini semasa beliau menjadi menteri kerja raya semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Rakyat Sabah amat berharap menteri dari Malaysia Timur ini dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan projek ini kembali berada di landasan yang betul dan dapat menyegerakan pelaksanaannya,” katanya.