Nelayan terlantar selepas terjatuh dari beranda rumah

Mopin Mardi terbaring di rumahnya.

KUCHING: Bekas nelayan Mopin Mardi terlantar tidak berdaya di rumahnya ketika mendengar rakan-rakan menghidupkan enjin bot untuk keluar menangkap ikan.

Setahun yang lalu, beliau bersama-sama mereka. Tetapi ia berlaku sebelum dia patah leher dan cedera tulang belakang selepas terjatuh dari beranda rumah rakannya.

Rumah Mopin terletak di Kampung Tanjung Bakong, di luar pekan Sundar, kira-kira 30 km dari Lawas.

Kira-kira 20m dari rumahnya terdapat tebing sungai tempat Mopin biasa memancing.

“Saya hanya menahan air mata setiap hari bila mendengar bunyi enjin bot,” kata lelaki berusia 44 tahun itu kepada FMT.

Wang juga menjadi masalah kepada Mopin dan ahli keluarganya.

Sebelum lumpuh, Mopin memperoleh RM50 sehingga RM60 sehari.

“Sekarang saya bergantung sepenuhnya kepada isteri, yang menghidap penyakit sawan,” katanya.

Beliau dan isterinya, Sahnilam Sahari, berusia 29 tahun, mempunyai seorang anak angkat berusia 13 tahun.

“Isteri saya pernah menjual aiskrim sebagai pendapatan sampingan, dan memperoleh kurang RM5 sehari,” katanya. “Tapi sekarang dia tidak lagi boleh melakukannya kerana perlu menjaga saya di rumah.”

Isteri Mopin Mardi (paling kiri) dan beberapa ahli keluarganya menerima bantuan makanan daripada aktivis kesihatan luar bandar Agnes Padan (paling kanan).

Mopin berkata, beliau masih belum mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan dan hanya bergantung kepada simpanannya, yang sebahagiannya adalah wang yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.

“Wang simpanan saya hampir habis. Adik-beradik dan keluarga mentua yang bekerja di Johor Bahru membantu keluarga saya dari semasa ke semasa, tetapi saya berasa malu mengenainya dan ia tidak mencukupi untuk keluarga saya. ”

Mopin berkata, beliau berterima kasih atas bantuan kewangan yang diberikan kerajaan negeri dan persekutuan bagi membantunya mengatasi krisis Covid-19 serta bantuan makanan daripada aktivis kesihatan luar bandar Agnes Padan.

Namun kekangan kewangan menyebabkan Mopin terlepas temu janji susulan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu. Perjalanan pergi balik menelan kos kira-kira RM500.

Katanya beliau gembira doktor di Hospital Queen Elizabeth bersetuju untuk memindahkan kesnya ke Klinik Kesihatan di Sundar.

“Kakitangan perubatan akan datang ke rumah saya setiap 2 minggu untuk menukar beg air kencing saya.

“Malangnya, klinik itu tidak mempunyai beg kolostomi. Isteri saya harus membeli satu setiap kali dari farmasi. Ia agak mahal, kira-kira RM130. ”

Tetapi walaupun di tengah-tengah kesusahannya, Mopin bersyukur atas sokongan yang diterima daripada isterinya.

“Saya sangat berterima kasih kepada isteri dan rakan-rakan yang memberi saya sokongan moral setiap kali saya rasa mahu berputus asa.”

Agnes mengetengahkan kisah Mopin di akhbar. Sejak 28 Mac, aktivis itu dan adiknya mengagihkan bantuan makanan yang ditaja NGO dan penderma perseorangan kepada lebih 1,500 keluarga yang memerlukan di Lawas.

“Ada ramai yang mengalami kesukaran seperti keluarga Mopin, terutama ketika PKPB ini (perintah kawalan pergerakan bersyarat), dan ia sebahagian daripada tugas kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.