Pasaran hartanah jatuh, tetapi tidak tumbang, kata pakar

Sama seperti sektor ekonomi yang lain, pasaran hartanah berdepan tempoh sukar susulan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Pasaran hartanah mungkin berada dalam keadaan sukar, tetapi seorang pakar industri menjangka ia akan melonjak semula sebaik sahaja vaksin Covid-19 ditemui.

Ini umumnya adalah susulan permintaan yang terpendam, ketua pegawai eksekutif Rahim & Co International Siva Shanker, dan juga bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia.

“Pasaran hartanah seperti satu roda besar,” katanya.

“Apabila ia perlahan, sukar untuk memutarnya semula. Tetapi apabila ia mula bergerak, ia akan berputar sendiri.”

Malah pada waktu ini katanya, individu yang mempunyai wang tunai terus mencari belian terbaik dan akan sentiasa ada pemilik yang mahu menjual hartanah mereka.

“Ejen seperti kami akan berusaha memudah cara pertemuan kuasa pasaran ini, dan setiap jual-beli yang berlaku akan berperanan sebagai pemacu pusingan jualan seterusnya. Begitulan inti pati kitaran hartanah.”

Bagaimanapun Siva berkata, tidak terdapat data yang dapat membantu mengukur tahap kesan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) ke atas sektor itu.

Bercakap berhubung laporan FMT sebelum ini mengenai bilangan hotel yang ditawarkan untuk dijual, beliau berkata, sesetengah hotel memang berada dalam keadaan kewangan yang buruk hatta sebelum bermulanya wabak Covid-19. Virus itu hanya memburukkan lagi keadaan, katanya.

“Kita perlu ingat bahawa pada 2018 dan 2019, pasaran hartanah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dan kita juga lihat berlakunya pertumbuhan untuk keli pertama sejak beberapa tahun lepas,” katanya.

“Jual-beli pasti menurun. Ke takat mana, kita tidak tahu. Tetapi saya percaya ekonomi Malaysia mampu melepasi semua ini. Industri hartanah akan menyusul selepas itu, walaupun pada kadar lebih perlahan kerana hartanah adalah industri besar.”

Namun begitu katanya, ia akan berkembang lebih cepat sebaik sahaja vaksin Covid-19 ditemui.

Beliau berkata, pertumbuhan industri hartanah dijangka berpunca dari syarikat pelaburan amanah hartanah (Reit) kerana ia merupakan wahana pelaburan hartanah yang stabil.

“Melalui Reit anda tidak akan mendapat pulangan besar dalam jangka pendek, tetapi ia juga bermakna kurangnya spekulasi dan luar jangkaan. Pertumbuhan jenis ini baik untuk industri dan orang lain juga.

Beliau menggesa Bank Negara (BNM) supaya melihat kemungkinan melanjutkan tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman kepada 6 bulan lagi bagi memberi cukup masa kepada syarikat dan individu yang berdepan masalah untuk pulih.

“Kita juga perlu meneruskan kempen pemilikan rumah supaya orang ramai tahu bahawa dalam tempoh 18 akan datang terdapat insentif untuk membeli hartanah,” katanya.

Ketua pegawai operasi Henry Butcher, Tang Chee Meng berkata, sektor hartanah perniagaan dan pejabat sangat terkesan oleh kemerosotan dalam sektor runcit dan pelancongan serta lebihan penawaran ruang pejabat.

Beliau berkata, siapnya beberapa pembangunan ruang pejabat yang besar seperti Merdeka PNB 118, akan memberi tekanan ke atas kadar penghunian dan sewa.

“Ia akan mengambil masa sebelum keadaan pulih seperti biasa,” katanya kepada FMT dengan menambah bahawa pemilik pusat membeli belah dan bangunan pejabat harus mencari jalan untuk mengekalkan penyewa sedia ada dan menarik penyewa baru.

“Kerajaan perlu mengambil langkah untuk merangsang ekonomi kerana ia adalah satu-satunya cara bagi meningkatkan permintaan terhadap ruang pejabat dan juga perbelanjaan pengguna.”

Beliau mengesyorkan supaya Putrajaya memperkenalkan insentif bagi menarik syarikat antarabangsa membuka pejabat wilayah di negara ini bagi membantu merangsang permintaan ruang pejabat.