103 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 115 orang.

Dalam perkembangan sama, 103 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,732 orang sehingga kini.

“Ingin dimaklumkan daripada 103 kes baharu yang dilaporkan, 7 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

“Oleh itu, kes penularan tempatan di kalangan warnanegara Malaysia adalah 12 kes sahaja,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 1,382 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 8 di unit rawatan rapi dengan 2 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan 66 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,235 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, Hisham berkata Kementerian Kesihatan menyambut baik pengumuman menteri sumber manusia pada 27 Mei mengenai penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja.

Katanya, pindaan itu bagi menambahbaik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing yang disediakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Seperti yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan sebelum ini, didapati kebanyakan kluster yang melibatkan bukan warganegara berpunca daripada penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial.

“Ini medium yang amat sesuai untuk penularan pelbagai penyakit berjangkit, termasuk virus Covid-19,” katanya.

Hisham berkata isu penginapan golongan pekerja yang tidak kondusif sememangnya perlu ditangani segera kerana sukar untuk mematuhi amalan penjarakkan sosial.

Katanya, majikan juga bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada pekerja tentang amalan kebersihan, langkah pencegahan jangkitan Covid-19 di tempat tinggal, dan juga pematuhan kepada pelbagai SOP yang disediakan kerajaan untuk industri termasuk pergerakan pekerja.

Sementara itu, Hisham berkata kluster aktif Pedas melaporkan 54 kes baru, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 217.