40 juta hilang pekerjaan akibat Covid-19 di AS

Seorang wanita membaca notis yang ditampal di pintu masuk pejabat pekerjaan di Arlington Heights pada 9 April. (Gambar AP)

WASHINGTON: Jumlah pekerja yang memohon faedah pengangguran sejak koronavirus muncul di AS melepasi angka 40 juta orang pada Khamis, sementara jualan barangan perkilangan merosot walaupun terdapat tanda bahawa orang ramai kembali bekerja.

Kehilangan pekerjaan dalam skala itu tidak pernah dilihat sejak Zaman Kemelesetan pada awal abad yang lalu dan muncul ketika data baru menunjukkan ekonomi terbesar di dunia itu menyusut sebanyak 5% pada suku pertama, dengan ramalan jauh lebih buruk dijangka berlaku ditengah-tengah kemelesetan akibat Covid-19.

Langkah pemberhentian pekerja mencapai puncaknya, namun terus meningkat dalam jumlah yang besar, dengan Jabatan Buruh melaporkan 2.12 juta pekerja membuat tuntutan baru untuk faedah pengangguran pada minggu yang berakhir pada 23 Mei.

Skala itu jauh lebih besar berbanding minggu terburuk semasa krisis kewangan global 12 tahun lalu, tetapi merupakan penurunan daripada 2.44 juta orang yang memfailkan tuntutan pada minggu sebelumnya.

Jumlah sebenar pekerja yang menerima faedah menurun 3.86 juta dalam minggu yang berakhir pada 16 Mei, penurunan pertama sejak kemunculan pandemik itu dan merupakan petunjuk bahawa sesetengah pekerja mungkin kembali bekerja.

Walaupun begitu, terdapat lebih 21 juta orang yang bergantung pada pembayaran kerajaan, meningkat daripada 1.7 juta pada minggu yang sama pada 2019.

Majlis Penasihat Ekonomi Rumah Putih berkata di Twitter, penurunan itu “menunjukkan aliran besar daripada pengangguran kepada pekerjaan.”

Jika berterusan, ia boleh menjadi perkembangan positif untuk Presiden Donald Trump, yang menyokong usaha negara itu untuk dibuka kembali ketika beliau berdepan persaingan pemilihan semula pada November yang menyasikan perkembangan ekonomi menjadi keutamaan pengundi.

Tetapi Setiausaha Buruh Eugene Scalia mengakui kadar pengangguran negara boleh mencecah 20%.

“Kita harus sekali lagi, mengakui ini adalah masa yang mencabar untuk pekerja di seluruh negara. Tetapi kita akan buka kembali,” kata Scalia di Fox Business Network.