Dr M mahu duduk di blok pembangkang, kata Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan hari ini mendedahkan Dr Mahathir Mohamad meminta supaya ditempatkan di blok pembangkang di Dewan Rakyat ketika persidangan 1 hari pada 18 Mei, langkah yang menyaksikan pemimpin veteran itu dan beberapa yang lain dilucutkan keahlian PPBM malam tadi.

Takiyuddin berkata, ahli Parlimen akan ditempatkan di blok yang mereka mahukan, sama ada kerajaan atau pembangkang, dan permintaan Mahathir dibuat menerusi sepucuk surat yang dihantar kepadanya yang dimuat naik di Twitter hari ini.

Dalam surat berkenaan, Mahathir, yang merupakan ahli Parlimen Langkawi memaklumkan kepada Takiyuddin bahawa beliau mahu duduk bersama blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Hal dengan parti adalah urusan dalaman parti dengan ahlinya,” tambah Takiyuddin dalam status Twitter.

Keahlian Mahathir, bersama anaknya Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah dalam PPBM “terlucut serta merta” kerana menyertai dan duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Mahathir pernah menjadi pengerusi parti itu sementara Mukhriz, yang merupakan timbalan presiden, dijadualkan akan bertanding jawatan presiden, sementara Syed Saddiq adalah ketua sayap Pemuda parti itu.

Sementara itu Maszlee adalah menteri pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Amiruddin merupakan timbalan menteri kewangan.

Perkembangan malam tadi adalah episod terbaru dalam pergeseran berterusan antara 2 puak dalam parti, satu dipimpin oleh Mahathir dan satu lagi oleh presiden PPBM Muhyiddin Yassin.