KKM kenal pasti kluster tukang cuci warga Bangladesh

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 24 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster itu melibatkan warganegara Bangladesh setakat ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 1 lagi kluster melibatkan pekerja bukan warganegara dari sebuah syarikat pembersihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini sebanyak 24 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster itu melibatkan warganegara Bangladesh.

“Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan.

“Saringan ini dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka.

“Secara keseluruhannya, daripada 150 pekerja bukan warganegara dari syarikat tersebut yang disaring, 126 kes didapati negatif Covid-19,” katanya pada sidang media hariannya.

Hisham berkata 20 daripada 24 kes positif daripada kluster berkenaan adalah mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, 4 lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya diambil seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain.

“Setakat ini seramai 428 kontak rapat dikenal pasti dan akan disaring,” katanya.