Pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang mungkin ditangguh setahun, kata KM

Projek pembesaran PIA bernilai RM800 juta diumumkan oleh MAHB pada Disember tahun lepas dan dijadualkan siap dalam 4 fasa pada 2024.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, rancangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mungkin tertangguh selama 6 bulan hingga 1 tahun berikutan penularan wabak Covid-19 dan kemerosotan industi penerbangan.

Bercakap pada sidang media di lapangan terbang itu beliau berkata, kerja-kerja pembesaran sepatutnya bermula bulan depan.

“Projek ini telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, tetapi saya fikir sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakannya kerana jika penularan Covid-19 berterusan, lapangan terbang ini tidak dapat beroperasi dengan cekap.

“Operator perlu menimbangkan sama ada pembesaran lapangan terbang akan memberi manfaat atau sebaliknya. Saya diberitahu mereka perlukan 6 bulan hingga setahun untuk memutuskannya. Jadi para pembuat keputusan perlu kembali membuat perancangan baru,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memeriksa sistem paparan maklumat penerbangan di PIA bersama-sama anggota exco beliau dan pegawai MAHB.

Menurut data Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), PIA merupakan lapangan terbang ke-3 paling sibuk di negara ini selepas KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Projek pembesaran PIA bernilai RM800 juta diumumkan oleh MAHB pada Disember tahun lepas. Ia dijadualkan siap dalam 4 fasa pada 2024.

Di bawah projek ini, kapasiti lapangan terbang sepatutnya dikembangkan kepada 12 juta penumpang setahun berbanding 6.6 juta sekarang.

Ia ditingkatkan kepada kapasiti semasa pada 2012.

PIA merekodkan 8 juta penumpang pada Disember dan dijangka mencecah angka 9.5 juta tahun ini.