PR1MA peruntuk RM28 juta sebagai pampasan projek kediaman tertangguh

Pembayaran LAD akan dibuat kepada pembeli projek kediaman tertangguh di Residensi PR1MA Rantau, Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memperuntukkan RM28 juta untuk pembiayaan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (liquidated ascertain damages) bagi projek perumahan yang tertangguh di bawah perbadanan berkenaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff berkata pihaknya akur dan bertekad memenuhi kewajipan untuk memberi pampasan kepada pembeli atas kelewatan sepertimana yang termaktub dalam perjanjian jual beli.

“Kami akur dan bertekad untuk memenuhi kewajipan kami untuk memberi para pembeli pampasan atas kelewatan ini seperti dalam perjanjian jual beli, bentuk ‘Liquidated Ascertain Damages’ atau LAD yang boleh dituntut pelanggan sekiranya kemajuan projek tertangguh.

“Kami sudah memperuntukkan RM28 juta untuk pembiayaan LAD setakat ini. Seperti tertakluk dalam perjanjian jual beli, pembayaran LAD akan dibuat kepada para pembeli kediaman Residensi PR1MA yang mengalami situasi sama,” katanya dalam satu rakaman video, malam ini.

Nazri berkata demikian bagi mengulas perkembangan semasa projek PR1MA di Rantau, Negeri Sembilan yang masih tidak disiapkan dan mengalami kelewatan daripada tarikh siap sepatutnya, iaitu pada Januari 2019.

“Kami tahu, ramai sudah tidak sabar untuk berpindah masuk ke kediaman baru di Rantau dan menunggu sejak sekian lama. Kami sedang berusaha memastikan pembinaan projek ini disambung secepat mungkin, dengan mengambil kira aspek kualiti rumah yang akan dibina pemaju berkaliber.

“Kami sedang dalam proses untuk melantik kontraktor penyelamat yang lebih berkaliber untuk menyambung pembinaan unit-unit di Residensi PR1MA Rantau, proses ini sudah mendapat kelulusan daripada pihak Lembaga Pengarah PR1MA pada 15 Mei lalu,” katanya.

Pada April tahun lalu, FMT melaporkan kekecewaan lebih 600 pembeli projek PR1MA di Rantau. Rata-rata pembeli ketika ditemui bimbang kerana projek itu yang sepatutnya siap awal Januari tahun lalu tertangguh dan kini menjadi “projek sakit”.

Ketika ditanya, bilakah projek PR1MA di Rantau akan siap, Nazri berjanji projek berkenaan akan disiapkan dalam masa setahun selepas pembinaan bagi projek itu dimulakan.

“Kami berharap kelulusan dapat diterima secepat mungkin. Setelah semuanya diluluskan, proses pembinaan akan bermula. Kami akan terus berusaha memastikan projek ini akan siap dalam masa setahun selepas pembinaan dimulakan.

“Namun begitu, situasi PKP harus diambil kira dalam proses pembinaan projek Rantau ini,” katanya.

Pada masa sama, Nazri turut memohon maaf dan meminta jasa baik pembeli supaya memberi peluang kepada perbadanan berkenaan untuk membuktikan mereka mampu menjana aspirasi pemilikan rumah mampu milik.

“Setakat April 2020, jumlah yang diluluskan adalah lebih 56,000 unit, manakala jumlah sudah siap dibina adalah hampir 16,000 unit, kira-kira 28% daripada jumlah unit yang sudah diluluskan. Kami sudah menyerahkan kunci kepada para pembeli kediaman PR1MA sebanyak 5,472 unit daripada 16 projek.

“Antara projek-projek ini termasuklah Residensi PR1MA Alam Damai dan Residensi PR1MA Jalan Jubilee, Kuala Lumpur, Residensi PR1MA Matang, Sarawak, Residensi PR1MA Bandar Meru Raya, Perak, dan Residensi PR1MA Layangkasa, Johor.”