Taman tema di Jepun larang pengunjung menjerit naik roller coaster

Pengunjung taman tema dilarang menjerit ketika menaiki roller coaster, menjaga jarak sosial di rumah hantu dan tidak dibenarkan ‘high five’ dengan adiwira. (Gambar Japan Info)

Seluruh dunia kini sedang menjalani norma kehidupan yang baru dalam memerangi pandemik Covid-19.

Selain mengamalkan penjarakan sosial, orang ramai juga perlu memakai topeng serta sentiasa mengamalkan kebersihan.

Ketika ini beberapa negara sudah mula melonggarkan perintah berkurung dan sesetengah perniagaan sudah kembali beroperasi namun beberapa peraturan ketat turut dikenakan.

Begitu juga dengan taman hiburan di Jepun apabila melarang pengunjungnya menjerit ketika menaiki roller coaster, menjaga jarak sosial di rumah hantu dan tidak dibenarkan “high five” dengan adiwira.

Pengendali beberapa taman hiburan di Jepun yang mula dibuka mengeluarkan panduan bagi memastikan taman itu selamat dikunjungi.

Antara saranan dikeluarkan pengunjung perlu sentiasa memakai topeng dan tidak menjerit terlalu kuat ketika menaiki roller coaster atau mana-mana permainan.

Malah, “jembalang” yang bertugas di rumah hantu juga perlu memastikan jarak selamat dengan mangsa mereka.

Kakitangan taman tema termasuk mereka yang mengenakan kostum maskot haiwan atau adiwira tidak boleh bersalam atau memberikan “high five” kepada pengunjung kanak-kanak selain memastikan jarak selamat sesama mereka.

Adiwira yang “berlawan” dengan musuh juga perlu mengelakkan mencetuskan situasi yang memerlukan pengunjung menjerit untuk menghalang titisan tersebar di udara.

Panduan itu turut menjelaskan permainan realiti maya tidak boleh dibuka kecuali cermin mata khas yang digunakan disanitasi sepenuhnya.

Pengendali taman tema itu berkata, panduan berkenaan tidak boleh menghalang kes jangkitan Covid-19 tidak berlaku sepenuhnya, namun ia dijangka mengurangkan risiko.

Bagaimanapun Disneyland Tokyo dan Universal Studios Japan di Osaka ditutup sehingga kini dan belum ada tarikh ditetapkan beroperasi semula.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]