Thai AirAsia timbang gabung dengan syarikat penerbangan lain

Thai AirAsia dijangka akan mula memberhentikan pekerjanya serta mengecilkan operasi syarikat dan kumpulan pesawat sekiranya aktiviti pelancongan di negara itu tidak beroperasi semula pada Julai. (Gambar AFP)

BANGKOK: Thai AirAsia Co Ltd (TAA) menimbang untuk bergabung dengan syarikat penerbangan tambang rendah lain bagi membendung perang harga berikutan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan sektor penerbangan.

Pengerusi eksekutif TAA, Tassapon Bijleveld memberitahu Bangkok Post, syarikat berkenaan akan mula memberhentikan pekerjanya serta mengecilkan operasi syarikat dan kumpulan pesawat demi kelangsungan perniagaan sekiranya aktiviti pelancongan di negara itu tidak beroperasi semula pada Julai.

Tassapon berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan lain mengenai kemungkinan penggabungan itu. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

“Penggabungan itu mungkin berlaku sekiranya sektor penerbangan di Thailand meneruskan perang harga lama yang sama memandangkan pada masa ini kami mempunyai sumber perolehan yang lebih terhad,” katanya.

Bagi mengelakkan kerugian setiap penerbangan beliau berkata, harga tiket pesawat perlu ditetapkan dalam lingkungan 1,200 (RM164) dan 1,400 baht (RM191), iaitu peningkatan antara 15 hingga 20% daripada kadar biasa, iaitu kira-kira 1,000 baht (100 baht = RM13.67).

Tassapon juga merupakan pengerusi eksekutif Asia Aviation Plc (AAV) yang disenaraikan di Bursa Saham Thailand. Beliau mempunyai 40.52% kepentingan dalam AAV yang merupakan pemilik TAA.

Terdapat 7 syarikat penerbangan tambang rendah di Thailand.

Tassapon berkata, 3 operator adalah mencukupi untuk bersaing di pasaran.

Beliau berkata, setiap bulan TAA mengalami kerugian kira-kira 1.2 bilion baht semasa pelaksanaan perintah berkurung akibat Covid-19 apabila 60 pesawatnya terkandas di lapangan terbang.

Menurutnya, AAV menjangkakan berlakunya kerugian yang belum pernah terjadi sebelum ini, pada tahun ini.

TAA mencatat perolehan berjumlah 9.4 bilion baht bagi suku pertama 2020, merosot 19% tahun ke tahun dan kerugian bersih sebanyak 671 juta baht.