Apakah erti pendidikan percuma pada zaman koronavirus?

Pada zaman parti-parti politik bertelagah dahulu tentang erti pendidikan percuma, rancak perbahasan mengenai sama ada patut atau tidak kita mansuhkan pinjaman PTPTN.

Pendek kata, pendidikan percuma atau mampu milik (affordable) pada zaman itu adalah dikaitkan dengan pelajar atau keluarga pelajar mampu menanggung yuran pembelajaran dan juga mampu menyara hidupnya sepanjang pengajiannya, terutamanya di institusi pengajian tinggi.

Namun begitu, pandemik koronavirus (Covid-19) mengubah lensa kita dalam menanggapi apakah erti pendidikan percuma atau pendidikan mampu milik.

Jika dahulunya kita membayar cukai (sekolah kerajaan) dan yuran (pengajian tinggi) untuk mendapatkan akses pendidikan dan fasiliti pendidikan yang disediakan, kini cukai dan yuran itu seolah-oleh tidak bermakna lagi kerana kita terputus terus dengan akses perkhidmatan dan fasiliti pendidikan tersebut.

Murid dan pelajar tidak boleh bersemuka dengan guru dan pensyarah mereka. Mereka juga tidak boleh menggunakan fasiliti sekolah seperti perpustakaan, makmal, bengkel, dan akses internet di premis pusat pendidikan.

Keadaan kini memerlukan muhasabah kembali. Berbaloikah yuran yang dibayar kepada pihak universiti untuk semester terkini memandangkan baki pengajian perlu dihabiskan bukannya dilaksanakan di premis universiti, tetapi di rumah sendiri?

Ini bermakna pelajar tidak menggunakan fasiliti universiti seperti yang disebutkan di atas dan tidak juga tinggal di kolej kediaman. Maka tindakan yang sewajarnya dilakukan ialah memulangkan sebagian daripada yuran tersebut kepada pelajar.

Satu tindakan yang boleh dipuji ialah ada MPP di beberapa universiti tempatan sudah pun mula menggerakkan usaha dan menyediakan kertas cadangan bagi memastikan pemulangan sebahagian yuran pelajar ini menjadi kenyataan.

Sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu. Selebihnya bergantung pada tanggungjawab moral pihak pentadbiran universiti sendiri untuk mempertimbangkan perkara ini.

Namun masalah paling besar bukanlah semata-mata yuran, tetapi hakikatnya terletak pada kemampuan pelajar untuk menyambung pengajian di rumah masing-masing.

Ya, kita perlu berbincang tentang akses terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Mahu tidak mahu, jika pengajian tidak ditangguh, untuk golongan penuntut pengajian tinggi yang tidak diberi pengecualian, mereka mesti menyambung pengajian di rumah secara dalam talian.

Tetapi tidak semua pelajar bernasib baik untuk mendapatkan capaian khidmat internet yang memuaskan untuk pembelajaran dalam talian.

Malah, faktanya ialah berada di Malaysia itu sendiri merupakan suatu “bala” untuk pembelajaran dalam talian.

Walaupun kelajuan internet jalur lebar tetap (fixed broadband) di boleh dikatakan agak memuaskan iaitu 67.15 Mbps, di belakang Singapura dan Thailand di rantau Asean), namun tidak semua kawasan di Malaysia menikmati kelajuan internet yang sama.

Sebagai contoh, masih banyak lagi kawasan luar bandar yang tidak mempunyai peluang untuk capaian internet fiber seperti Unifi dan TIME Broadband.

Malah kelajuan internet jalur lebar mudah alih (mobile broadband) pula jauh lebih rendah iaitu pada kelajuan 20.49 Mbps berbanding Singapura, Laos, Myanmar, dan Vietnam untuk rantau Asean.

Hakikat lebih memalukan ialah jika di luar bandar pula tidak semua akan mampu dapat kelajuan internet mudah alih melebihi 10 Mpbs pun.

Malah bagi penduduk luar bandar pula, mereka terpaksa membuat pertimbangan yang sukar, sama ada mahu kuota internet yang tinggi tapi dengan kelajuan yang rendah atau mengorbankan kuota demi kelajuan internet yang tinggi.

Tetapi pembelajaran dalam talian tidak sepatutnya begitu. Pembelajaran begini memerlukan kedua-dua data tanpa had dan juga kelajuan yang tinggi.

Kelajuan yang tinggi adalah penting untuk memastikan proses pembelajaran langsung seperti telesidang dan kelas dalam talian dapat berjalan dengan lancar dan tidak tersekat-sekat.

Kuota yang tinggi atau tanpa had juga adalah diperlukan bagi memastikan sepanjang pembelajaran terpaksa berjalan dalam talian, serta akses kepada video yang berkenaan.

Sebagai contoh video pemeriksaan fizikal pesakit untuk panduan pelajar perubatan dapat ditonton agar sedikit sebanyak dapat menggantikan pengajaran langsung di hospital.

Namun dengan keadaan sekarang, kita masih belum mampu lagi.

Malah tidak cukup dengan kelemahan internet, ada antara kita tidak memiliki peranti terbaik untuk pembelajaran dalam talian.

Tidak semua semua pelajar mempunyai laptop yang cukup baik untuk menggunakan perisian pembelajaran telesidang seperti Zoom dan Micorosft Teams.

Sedikit sahaja juga yang mempunyai iPad dan tablet Android. Tidak semua pelajar juga memiliki telefon pintar yang memuaskan untuk “multitasking”.

Kesemua faktor ini menjadikan pembelajaran dalam talian tidak mampu menjadi selancar yang diharapkan.

Malah ada juga pelajar yang melaporkan, apabila sedang menyertai kelas dalam talian, tiba-tiba rangkaiannya terputus. Beberapa minit kemudian barulah dia berjaya memasuki kelasnya kembali. Dalam masa beberapa minit itu, sudah berapa banyak penerangan pensyarah yang sudah dia ketinggalan?

Benar, pelajar sekarang sangat menyokong satu sama lain. Contohnya ada antara kawan yang ketinggalan menyertai kelas dalam talian akan bertanya kawan lain tentang isi perbincangan kuliah itu.

Namun ketaksetaraan (inequality) capaian internet dan ICT ini tidak boleh ditolak ansur kerana ia juga membawa maksud ketaksetaraan capaian pendidikan!

Jika dahulu pendidikan percuma membawa maksud yuran dan pinjaman PTPTN dimansuhkan dengan biasiswa yang mencukupi bagi memastikan sara hidup pelajar tidak terabai, zaman Koronavirus ini membawa kita memahami norma baru.

Norma baru pendidikan percuma ialah kesetaraan dalam capaian ICT, apatah lagi jika ICT sahaja yang membolehkan mereka menyambung pengajian pada saat yang sukar ini.

Walau apapun pertelingkahan politik para elitis hari ini, hak pelajar untuk belajar mesti dipelihara.

Jika ini bermakna ada keperluan untuk pembangunan fasiliti ICT dan meningkatkan kemampuan rakyat terhadap capaian internet, maka itulah yang perlu dilakukan.

Kita tidak boleh biarkan seseorang itu terbiar tidak terpelajar hanya kerana mereka miskin dan tidak mampu mendapat akses kepada kemudahan yang sepatutnya sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu, bukannya norma baru pasca-koronavirus.

Wan Salman Wan Sallam adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.