Baru Bian sertai parti pembangkang Sarawak

Baru Bian ialah bekas ketua PKR Sarawak.

KUCHING: Bekas ketua PKR Sarawak, Baru Bian menyertai parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) kerana sekarang bukan masanya untuk menubuhkan parti baru.

Turut mengikut jejak ahli Parlimen Selangau itu ialah Adun Batu Lintang, See Chee How dan beberapa ahli PKR.

Presiden PSB, Wong Soon Koh berkata pemimpin parti itu mengadakan perbincangan dengan Baru dan penyokongnya sejak beberapa bulan lalu serta mendapati mereka mempunyai aspirasi sama untuk masa depan Sarawak.

“Persamaan ini memberi Baru dan See keyakinan untuk memohon menyertai PSB dan kami sangat gembira menerima permohonan mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baru Bian (kiri) dan See Chee How (3 dari kanan) memegang bendera PSB bersama Wong Soon Koh (2 dari kiri). (Gambar Bernama)

Baru yang juga bekas menteri kerja raya, meninggalkan PKR ketika krisis politik pada akhir Februari lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

See yang juga bekas ketua cabang PKR Stampin dipecat parti itu bulan lalu.

Baru berkata, “masa tidak menyebelahi kami untuk mendaftarkan parti baru sebelum Pilihan Raya Negeri” dan beliau tidak mahu menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Katanya, beliau dan penyokongnya berkongsi aspirasi PSB untuk membina Sarawak baru.

Berhubung dakwaan beliau ialah “katak politik”, Baru berkata, “politik itu dinamik dan pemimpin bertukar ganti”.

Katanya, “katak bijak” akan melompat dan “kita perlu bijak serta berhati-hati”.

“Apabila anda berada dalam satu platform politik dan pemimpin gagal meneruskan misi dan visi asal parti, seperti PKR sebagai contoh, kami tiada pilihan kecuali keluar parti.”

Sementara itu, Wong berkata, mereka bersetuju dengan Baru dan See, walaupun parti itu sudah mengenal pasti calon untuk sebagian besar kerusi negeri.

Katanya, mereka akan bekerjasama dengan parti pembangkang sehaluan pada PRN akan datang untuk mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan negeri baru.

“Ini akan menjadi permulaan bagi Sarawak yang mempunyai suara sebenar dan berkesan dalam PRN akan datang dan menuntut kembali tempat sah kami di persekutuan.”