Minneapolis laksana perintah berkurung akibat rusuhan selepas kematian lelaki kulit hitam

Perintah berkurung di Minneapolis bermula 8 malam hingga 6 pagi waktu tempatan, berkuat kuasa mulai Jumaat sehingga 8 malam Sabtu. (AFP pic)

WASHINGTON: Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey pada Jumaat mengisytiharkan perintah berkurung waktu malam, susulan rusuhan bagi menuntut bela atas kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd.

Agensi berita Xinhua melaporkan perintah berkurung itu bermula 8 malam hingga 6 pagi waktu tempatan, berkuat kuasa Jumaat sehingga 8 malam Sabtu.

Mereka yang ingkar arahan itu boleh didenda AS$1,000 atau penjara sehingga 90 hari, lapor CBS News.

Pada hari sama, Datuk Bandar St Paul, Melvin Carter turut menandatangani perintah darurat tempatan.

Semua penguat kuasa undang-undang dan agensi berkaitan serta petugas media dikecualikan di bawah perintah itu.

Floyd, 46, meninggal dunia pada Isnin petang selepas Derek Chauvin, seorang anggota polis kulit putih, menahannya dan melutut pada lehernya, walaupun mangsa berulang kali berkata “tolong, saya tidak boleh bernafas”.

Chauvin ditahan pada awal Jumaat dan didakwa atas kesalahan membunuh.

Minneapolis ialah bandar terbesar di negeri Minnesota, Amerika Syarikat dilanda rusuhan selama 3 hari berturut-turut yang menyaksikan banyak bangunan mengalami kerosakan.

Di St Paul, lebih 170 premis perniagaan mengalami kerosakan.

Gabenor Minnesota, Tim Walz pada Khamis turut mengisytiharkan darurat.