Pasangan ingin berkahwin di Kedah tidak perlu kursus pra perkahwinan

Keputusan kerajaan Negeri Kedah wajar di contohi kerana memudahkan urusan pasangan yang ingin berkahwin ketika PKPB.

Ketika seluruh masyarakat sedang menjalani kehidupan norma baru ekoran pandemik Covid-19, banyak perkara yang perlu diubah mengikut kesesuaian bagi menjaga penjarakan sosial di antara satu sama lain.

Sehubungan itu apa jua perhimpunan atau berkumpul lebih daripada 20 orang tidak digalakkan namun ia tidak sewajarnya menjadi halangan jika ia ke arah kebaikan.

Seperti yang dilakukan kerajaan Negeri Kedah wajar menjadi contoh kepada negeri lain.

Ia berikutan pasangan pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga di Kedah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu lagi mengikuti kursus pra perkahwinan.

Sebaliknya pasangan yang mahu berkahwin hanya dikehendaki menghadiri temu duga ringkas.

Ia diumumkan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini dengan berkata temu duga ringkas kira-kira 15 minit itu akan dijalankan oleh pegawai pejabat agama daerah dan pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Kelonggaran yang diberikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) itu mampu menjadi alternatif terbaik menyelesaikan masalah pasangan yang mahu berkahwin disebabkan kursus pra perkahwinan tidak dapat diadakan buat masa ini.

“Sesi ini akan berlangsung pada hari akad nikah di pejabat agama daerah. Jadi maksudnya, mereka boleh bernikah walaupun tiada sijil (kursus pra perkahwinan),” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]