Polis melutut pada leher lelaki kulit hitam tak bersenjata didakwa bunuh

Penunjuk perasaan mengadakan protes di depan rumah milik anggota polis, Derek Chauvin di Minneapolis semalam. (Gambar AP)

MINNEAPOLIS: Anggota polis Minneapolis yang didakwa membunuh seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata, ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh pada Jumaat, ketika pihak berkuasa berusaha mengembalikan keamanan selepas protes ganas selama 3 malam yang menyebabkan sebahagian bandar itu dibakar.

Derek Chauvin antara 4 anggota polis yang dipecat selepas satu rakaman video menunjukkan beliau melutut pada leher George Floyd yang digari sekurang-kurangnya 5 minit pada Isnin lalu.

“Kes ini sudah siap dan kita sudah mendakwanya,” kata Pendakwa Raya Daerah, Mike Freeman ketika kemarahan memuncak atas kematian terbaru lelaki Amerika Afrika di tangan polis.

Freeman berkata, 3 anggota lain sedang disiasat dan beliau menjangkakan pertuduhan terhadap mereka.

Pengumuman itu menyusul ratusan anggota tentera yang dikerah mengawal jalan raya di Minneapolis dan St Paul bagi membendung protes ganas yang memasuki malam ke-4.

Sejumlah bangunan dibakar dan dipecah masuk di 2 bandar itu, termasuk sebuah balai polis yang dikaitkan dengan 4 anggota polis terbabit.

Ketika Presiden Donald Trump melabelkan penunjuk perasaan sebagai “samseng” dan mengugut akan mengambil tindakan, Gabenor Minnesota, Tim Walz memberi amaran beliau sedang mempertimbangkan perintah berkurung.

Katanya, ketegangan antara polis dan golongan kulit hitam berlarutan selama beberapa dekad.

Barack Obama, presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), pada Jumaat berkata beliau berkongsi kesedihan berjuta rakyatnya terhadap kematian Floyd yang berusia 46 tahun.

“Ini tidak patut menjadi ‘normal’ bagi AS 2020,” kata Obama dalam satu kenyataan.

Bekas naib presiden di bawah pentadbiran Obama, Joe Biden, yang bertanding untuk jawatan presiden, menggesa keadilan untuk Floyd kerana kini ialah masanya untuk merawat “luka terbuka” rasisme bersistematik di AS.

Tetapi, Trump membidas pihak berkuasa tempatan yang membiarkan protes tidak terkawal dan mengugut akan melakukan tindakan keras.

Pegawai di Minneapolis dan St Paul serta seluruh AS berdepan lebih banyak keganasan pada Jumaat, selepas protes berlaku di New York, Louisville, Memphis, Denver dan Phoenix.

“Rakyat marah, mereka kecewa kerana ini bukan pembunuhan pertama oleh polis yang mereka lihat di seluruh negara,” kata aktivis hak asasi, Al Sharpton kepada MSNBC.

“Rakaman kejadian itu lebih daripada mencukupi untuk membuktikannya dan membuat tangkapan. Tiada alasan untuk 4 anggota polis itu tidak ditahan sekarang.”

Freeman berkata, walaupun dengan rakaman video itu sebagai bukti, jabatannya memerlukan kes kukuh sebelum membuat tangkapan.

Katanya, kekerasan melampau perlu dibentuk “melebihi keraguan munasabah”.

Chauvin dan 3 rakan sekerjanya kini disiasat FBI dan Jabatan Kehakiman atas jenayah persekutuan, khasnya pelanggaran hak asasi kerana membabitkan kematian, boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

“Jabatan Kehakiman menjadikan siasatan kes ini sebagai keutamaan,” kata Erica MacDonald, pendakwa raya persekutuan untuk Minnesota pada Khamis.