Tinjauan CAP dapati kanak-kanak 8 tahun mula merokok

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, 10% daripada kira-kira 5 juta perokok di Malaysia berusia di bawah 19 tahun.

GEORGE TOWN: Hasil tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ke atas penggunaan rokok dalam kalangan belia mendapati kanak-kanak di Malaysia seawal usia 8 tahun sudah pandai menghisap rokok.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, tinjauan itu turut mendapati kanak-kanak seawal 5 hingga 7 tahun mula terdedah kepada rokok apabila mereka disuruh membeli rokok oleh bapa di kedai runcit.

“Akses untuk mendapatkan rokok ini pun mudah kerana ada peniaga yang menjual sebatang rokok, tak perlu beli sekotak rokok pun. Jadi, dari sini kanak-kanak ini mula belajar dengan membeli sebatang rokok dan cuba menghisapnya,” katanya kepada Bernama.

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia esok yang bertemakan belia, beliau menyeru kerajaan lebih tegas dalam melindungi belia, termasuk kanak-kanak daripada terus dimanipulasi industri tembakau dengan melarang penggunaan rokok dalam kalangan golongan itu.

Subbarow berkata, Jabatan Belia dan Sukan juga perlu agresif dalam memberikan penerangan dan pendedahan kepada belia mengenai impak besar serta risiko akibat merokok.

“Kita lihat Jabatan Belia dan Sukan ini lebih menumpukan aspek mencungkil bakat belia dalam bidang sukan seperti bola sepak, namun dari sudut bahaya merokok ini amat kurang.

“Sepatutnya perkara ini perlu lebih diberi perhatian kerana ia mengancam nyawa, apatah lagi belia merupakan harapan negara,” katanya sambil menambah penekanan dalam penguatkuasaan perlu diberikan keutamaan, selain didikan ibu bapa di rumah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, terdapat kira-kira 5 juta perokok di Malaysia dengan 10% daripadanya berusia di bawah 19 tahun.

“Ketika CAP membuat tinjauan pada 2019, CAP terkejut mendapati kanak-kanak sekolah menghisap vape, malah terlibat dalam menjual isian semula cecair bagi rokok elektronik.

“Pada penghujung 2019, terdapat kira-kira 7,000 perasa rokok elektronik di pasaran. Kepelbagaian perasa itu untuk memikat pembeli dan menjadikannya satu tabiat atau ketagih kepada nikotina.”

Memetik laporan khas Philip Morris pada 1981, beliau berkata, laporan itu menyebut majoriti perokok mula merokok pada usia belasan tahun dan belia hari ini bakal menjadi pelanggan tetap rokok dengan mula membuat pilihan jenama pada usia remaja.

Sehubungan itu, CAP mendesak kerajaan memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau bagi menggantikan Peraturan Kawalan Produk Tembakau (CTPR) 1993 yang tertakluk di bawah Akta Makanan 1983.

Mohideen berkata, tanpa pengekangan dalam industri, mustahil mengurangkan RM7.4 bilion yang diperlukan kerajaan untuk merawat penyakit utama dikaitkan dengan tabiat merokok menjelang 2025.

Selain itu, katanya, Kementerian Pendidikan juga boleh mempertimbangkan cadangan menjadikan isu kawalan tembakau sebagai sebahagian silibus pendidikan.