‘Face mask’ bahaya untuk budak bawah umur 2 tahun

Pakar Jepun mendapati topeng hidung dan mulut boleh menyebabkan kanak-kanak bawah 2 tahun kesukaran untuk bernafas.

Kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak digalakkan memakai topeng hidung dan mulut kerana boleh menyebabkan mereka mengalami kesukaran bernafas dan berisiko tinggi untuk diserang strok haba, demikian amaran dari pakar Jepun.

Persatuan Paediatrik Jepun mengeluarkan peringatan kepada golongan ibu bapa agar tidak memakaikan topeng pada bayi yang berusia 2 tahun ke bawah, meskipun pihak berkuasa Jepun menyarankan semua individu memakai topeng bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam risalah yang dikeluarkan kepada orang awam, badan perubatan Jepun mengingatkan bahawa, bayi akan mengalami peningkatan beban pada paru-paru ekoran pemakaian topeng.

Tambahan, topeng yang digunakan juga menutup hampir keseluruhan wajah anak sehingga menyukarkan ibu bapa untuk melihat perubahan ekspresi atau warna pada wajah anak yang menunjukkannya mengalami masalah pernafasan.

Risalah itu menyatakan, “Kemungkinan face mask boleh menyebabkan bayi mengalami kesukaran untuk bernafas dan meningkatkan risiko serangan strok haba.”

Selain itu, saluran udara yang sempit boleh menyebabkan tercekik terutamanya anak kecil yang muntah di sebalik topeng.

Oleh kerana kanak-kanak mempunyai risiko yang rendah untuk dijangkiti Covid-19, lembaga Jepun mendapati golongan kanak-kanak tidak mempunyai alasan logik untuk menghadapi risiko yang ditimbulkan dengan memakai topeng itu sendiri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]