Monyet larikan sampel darah pesakit Covid-19 selepas serang juruteknik makmal

Sekumpulan monyet menyerang seorang juruteknik makmal sebelum melarikan sampel darah suspek pesakit Covid-19. (Gambar Twitter)

Sekumpulan monyet menyerang juruteknik makmal yang membawa sampel darah 4 pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 dan melarikan tiga sampel berkenaan.

Kejadian yang berlaku di Kolej Perubatan Meerut, India menimbulkan keresahan orang awam kerana sampel yang dilarikan itu masih “dipegang” monyet berkenaan.

Portal India Today melaporkan, seorang doktor di kolej itu mendakwa, monyet di sekitar kawasan berkenaan sering menyerang manusia.

Dalam satu video yang dikongsi, seekor monyet dilihat duduk di atas pokok dan mengunyah kit sampel berkenaan.

Serangan itu berlaku ketika juruteknik itu berjalan di sebuah kampus kolej perubatan dekat Meerut, utara Lucknow di Uttar Prafesh.

Dr S.K.Garg, pegawai tertinggi di kolej perubatan itu berkata:”Sekumpulan monyet melarikan sampel darah empat pesakit Covid-19 yang masih menjalani rawatan.

“Kami terpaksa mengambil semula sampel darah mereka,” katanya.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak pasti sama ada haiwan tersebut menuang sampel darah berkenaan.

Namun penduduk di sekitar kampus itu bimbang mengenai penularan wabak Covid-19 jika haiwan tersebut masih membawa sampel darah berkenaan.

Dr Grag tidak dapat mengesahkan sama ada haiwan itu boleh dijangkiti wabak itu jika mereka terkena sampel darah pesakit Covid-19.

“Tiada bukti ditemui bahawa monyet boleh dijangkiti pandemik itu,” katanya.

Virus itu dipercayai disebarkan daripada haiwan liar di sebuah pasar basah dekat Wuhan, China tahun lalu.

Di India, seramai 165,799 disahkan positif Covid-19 manakala 4,706 meninggal dunia akibat pandemik itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]