Ringgit berdepan perjalanan sukar

KUALA LUMPUR: Tahun 2020 menjalani tempoh perjalanan yang getir setakat ini dengan prospek suram terus menyelubunginya susulan penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi di seluruh dunia dengan banyak negara bakal berdepan dengan kemelesetan yang teruk.

Kadar pengangguran meningkat pada April dan Mei terutamanya di Amerika Syarikat (AS) apabila lebih daripada 40 juta penduduk kehilangan pekerjaan ekoran penutupan perniagaan dan kurangnya peluang pekerjaan bekerja secara bebas harian.

Malaysia juga, turut terkena tempiasnya apabila syarikat-syarikat menggantung operasi untuk membendung penularan virus tersebut yang menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.9%.

Prospek mencabar

Krisis yang memuncak antara Washington dan Beijing boleh membantutkan pemulihan ekonomi, menyebabkan penghindaran risiko dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dan komoditi, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Bagi syarikat, perkara yang wajar untuk dilakukan adalah dengan mengelak daripada terjebak dalam konflik itu menerusi pengalihan perdagangan.

“Dalam hal ini, penting bagi Malaysia untuk mengambil kesempatan sepenuhnya daripada situasi tersebut dengan menjadi lebih kompetitif untuk menjadi destinasi pelaburan.

“Mempermudahkan insentif pelaburan perlu menjadi keutamaan segera kerana syarikat global yang mahu membuka operasi mereka di sini pastinya mahu proses mereka menjadi lebih mudah, lancar dan terjamin,” katanya.

Pada Jumaat, Presiden Donald Trump mengumumkan beberapa langkah tindakan balas terhadap China yang didakwanya melakukan pengintipan serta mencabul hak kebebasan di Hong Kong, yang menegangkan lagi hubungan antara kedua negara itu.

Trump juga mengumumkan pengunduran AS daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendakwa China mengawal pertubuhan itu.

Prestasi Ringgit berbanding dolar AS

Pasaran sedang pesat membangun (EM) termasuk Malaysia berada dalam tekanan sejak awal tahun ini disebabkan harga minyak dunia yang tidak menentu, pandemik serta kemelesetan.

Peningkatan ketegangan antara 2 kuasa besar ekonomi dunia itu memburukkan lagi keadaan yang sukar.

Setakat ini pada tahun ini, ringgit susut daripada paras 4.0850 pada Januari kepada 4.3450 pada Jumaat lepas.

Ringgit bukan satu-satunya mata wang negara sedang pesat membangun yang berdepan penurunan penilaian mata wang sejak tempoh 5 tahun kebelakangan ini.

Ramai pelabur menyuarakan kebimbangan terhadap prospek kewangan awam negara-negara sedang pesat membangun kerana penurunan nilai mata wang mereka akan meningkatkan bebanan hutang denominasi dolar mereka.

Bagaimanapun, para penganalisis yakin perniagaan akan pulih semula perlahan-lahan bawah normal baru.

“Ketika normal baru diamalkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia, syarikat-syarikat semakin dapat membiasakan diri dengan konsep kerja dari rumah manakala membeli belah dalam talian menjadi rutin bagi hampir setiap orang.

“Justeru itu, perniagaan pasti akan pulih semula perlahan-lahan,” kata Afzanizam, sambil menambah ringgit diunjur meraih kembali momentum menghala ke hujung tahun disokong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat yang lebih baik.

Pemulihan semakin kelihatan

Ketika kerajaan di seluruh dunia mula membukakan semula ekonomi masing-masing bermula pertengahan Mei selepas hampir 2 bulan terhenti seketika, petunjuk ekonomi menunjukkan petanda penstabilan.

Afzanizam berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi Mei meningkat bagi AS (36.4, April: 27.0), Zon Eropah (30.5, April: 13.6), United Kingdom (28.9, April: 13.8), dan Jepun (27.4, April: 25.8).

“Di AS, tuntutan pengangguran bagi minggu yang berakhir pada 16 Mei turun kepada 21.0 juta daripada 24.9 juta pada minggu sebelumnya, membayangkan lebih ramai rakyat AS mendapat semula pekerjaan susulan pembukaan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu memberikan prospek positif bagi eksport Malaysia kerana permintaan luaran dijangka meningkat secara perlahan-lahan.

“Pembukaan semula ekonomi secara berperingkat bermakna akan lebih banyak aktiviti ekonomi, permintaan terhadap buruh akan meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kadar pengangguran Malaysia dijangka mengambil sedikit masa untuk turun kembali selepas kegawatan pada suku kedua dan menjangkakan kadar itu kekal di paras 4.5% hingga 5.5%.

Langkah proaktif

Memandangkan pandemik Covid-19 membantutkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan persekutuan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan langkah rangsangan ekonomi dan terbuka untuk menambah bantuan kewangan sekiranya situasi memerlukan tindak balas dasar seumpama itu.

Dengan menjadikan usaha merancakkan semula ekonomi dengan segera sebagai matlamat utama, kerajaan merangka dasar bagi memastikan kejayaan berterusan usaha membendung penularan Covid-19 tanpa menjejaskan lagi ekonomi.

Bank Negara (BNM) mengurangkan kadar dasar semalamannya kepada 2% – yang paling rendah sejak 2009, dan lebih banyak mudah tunai disuntik ke dalam ekonomi bagi memastikan ketersediaan kredit dan menurunkan kos pinjaman bagi memudahkan pemulihan ekonomi.

Data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan selepas mencatatkan pertumbuhan terendahnya sejak krisis kewangan global 2009, ekonomi negara dijangka berada dalam kemelesetan dalam tempoh 4 hingga 6 bulan akan datang.

Seorang penganalisis berkata memandangkan kemelesetan tidak dapat dielakkan, penting bagi kerajaan untuk menyediakan langkah meningkatkan mudah tunai kewangan dalam isi rumah bagi meningkatkan perbelanjaan.

Bagaimanapun, BNM berkata sektor perbankan tempatan dijangka mampu bertahan dengan tekanan kerana ia kini mempunyai jumlah nisbah modal 18.4% dengan lebihan modal RM121 bilion – berupaya bertahan daripada potensi kerugian kredit dan pasaran.

“Dengan kekuatan sektor perbankan dan sokongan kerajaan, perniagaan – terutamanya perusahaan kecil dan sederhana – boleh bangkit semula dengan teguh pasca Covid-19, mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masa diperlukan untuk pulih kembali daripada penurunan sebelumnya dan ekonomi serta kestabilan politik menjadi faktor kritikal untuk menarik pelaburan langsung asing berkualiti.

“Langkah proaktif perlu diambil, dan menyediakan pelan bagi membina semula ekonomi terutamanya dalam tempoh penting setahun akan datang,” katanya.