Zahid nafi jumpa Dr M untuk serah dokumen mahkamah

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan dibuat pihak tertentu bahawa pertemuan presiden parti bersama Dr Mahathir Mohamad pada 23 Mac lalu adalah untuk menyerahkan dokumen mahkamah.

Sebaliknya, Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata dokumen yang didakwa sebagai dokumen mahkamah itu adalah akuan bersumpah (SD) dan mencadang mewujudkan kerajaan tanpa DAP, PKR dan Amanah.

“Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Dr Mahathir Mohamad mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar Ibrahim) dan Amanah.

“Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan. Namun sokongan ditarik balik apabila Mahathir pada Selasa mencadangkan kerajaan perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal.

“Presiden parti yang hadir membawa SD dan bukannya dokumen mahkamah seperti ditulis beberapa orang. Saya hadir membawa mandat ahli dan pimpinan Umno, tidak lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zahid berkata demikian mengulas mengenai tangkap layar hantaran Facebook seorang pegawai Mahathir, yang mendakwa Zahid membawa “dokumen” bersamanya, namun dibalas Mahathir agar membawa dokumen berkenaan ke mahkamah.

Gambar itu menunjukkan Mahathir duduk bersama Zahid; Pengerusi GPS Abang Johari Openg; Ketua Whip GPS Fadillah Yusof; Presiden PPBM Muhyiddin Yassin; Presiden Warisan Shafie Apdal; bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Tegas Zahid, hanya mereka yang tidak mahu untuk berfikir sahaja akan percaya fitnah yang dilemparkan itu.

“Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi, sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan. Baru sahaja kita berpuasa sebulan tapi fitnah sudah menguasai kembali,” katanya.