Afidavit Najib terima RM42 juta bukan pengakuan bersalah, mahkamah diberitahu

Mahkamah Tinggi diberitahu Najib mengaku dalam affidavit bersumpah membabitkan kes terdahulu bahawa wang RM42 juta adalah daripada SRC International.

KUALA LUMPUR: Afidavit yang disahkan oleh Najib Razak dalam kes sivil bahawa beliau menerima RM42 juta tidak boleh digunakan untuk mensabitkannya kerana rasuah dan pecah amanah jenayah, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

“Afidavit Najib dalam kes sivil terhadap Dr Ling (Liong Sik) bukan pengakuan bersalah,” kata peguam pembelaan Harvinderjit Kaur dalam penghujahannya pada penutup kes pembelaan dalam perbicaraan rasuah SRC International membabitkan bekas perdana menteri itu.

Peguam pembelaan berkata, Najib tidak mengetahui wang itu dikreditkan ke dalam 2 akaun beliau di Ambank antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Ia juga berkata, wang tersebut adalah sebahagian daripada derma daripada keluarga di-raja Arab.

Harvinderjit berkata, pihak pembelaan berpendirian bahawa Najib hanya mengetahui wang RM42 juta itu adalah daripada SRC International pada 2016 berikutan pendedahan dalam media asing.

Pihak pembelaan juga berkata, 3 individu, iaitu ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, bertanggungjawab mendepositkan wang ke dalam akaun bank Najib.

Pada 29 Julai tahun lepas, saksi pendakwaan dan peguam Ranjit Singh memberitahu mahkamah bahawa Najib mengesahkan perkara itu dalam affidavit saman fitnah beliau terhadap bekas presiden MCA dan menteri pengangkutan, Ling.

Ranjit, yang mewakili Ling dalam kes tersebut berkata, Najib membuat pengakuan tersebut dalam affidavit berkenaan sebagai respons terhadap hujah pembelaan yang dikemukakan oleh klien beliau.

“Beliau mengaku dalam affidavit bersumpah bahawa wang RM42 juta adalah daripada SRC,” kata Ranjit ketika diperiksa oleh pendakwa raya ad hoc V Sithambaram.

Ranjit berkata, dalam affidavit itu Najib berkata, antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015, wang berjumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Ambank milik beliau melalui 2 perantaraan.

Najib bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui wang tersebut didepositkan ke dalam akaun miliknya melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib, 66, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah, 1 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.