Ali Rustam disebut-sebut ganti Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka

Pemimpin Umno dan bekas ketua menteri Ali Rustam disebut-sebut akan menggantikan Mohd Khalil Yaakob, yang tempoh jawatannya tamat Khamis ini, sebagai yang di-Pertua Negeri Melaka.

MELAKA: Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baru akan dilantik pada Jumaat dan penganalisis politik percaya ketua negeri yang bakal dilantik itu ialah pemimpin Umno Mohd Ali Rustam yang juga merupakan ketua menteri negeri berkenaan dari 1999 hingga 2013.

Satu lagi nama yang turut disebut-sebut ialah Zahid Mat Arip, yang merupakan setiausaha politik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sumber bagaimanapun memberitahu FMT bahawa nama Ali lebih terkedepan.

Pelantikan Ali bakal mengundang kontroversi kerana beliau bersama-sama 3 individu lain pernah digantung daripada Umno kerana “politik wang”.

Pelantikan Yang di-Pertua Negeri atau lebih dikenali dengan panggilan gabenor, muncul 2 bulan selepas PPBM keluar gabungan pemerintah Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan negeri baru dibentuk di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Umno, PPBM dan 2 bekas ahli PKR.

Ali dipercayai rapat dengan timbalan pengerusi PPBM Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen, yang merupakan seorang daripada 2 Adun parti itu.

Pejabat Ketua Menteri mengumumkan hari ini bahawa majlis angkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri akan diadakan di Balai Istiadat, Komplek Seri Negeri di Ayer Keroh pada jam 10 pagi Jumaat.

Pengumuman itu bagaimanapun tidak menyebut nama Yang di-Pertua Negeri yang baru.

Pada jam 11 pagi, Yang di-Pertua Negeri sekarang, Mohd Khalil Yaakob, yang tempoh jawatannya tamat tamat Khamis, akan menyerahkan tugas kepada ketua negeri baru di pejabat Yang di-Pertua Negeri.

Pencalonan Ali dikritik oleh DAP minggu lepas.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, kerajaan baru PN perlu bersikap telus berhubung desas-desus mengenai Ali dan Zahid.

“Sebagai makluman, Ali Rustam dan 3 ejennya didapati bersalah pada 2009 oleh lembaga disiplin partinya sendiri, iaitu Umno, kerana politik wang,” kata Khoo.

“Zahid Mat Arip pula sebelum ini dikaitkan dengan kes rasuah bekas pengerusi Felda, Isa Samad.”

Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan negeri. Peranannya umumnya bersifat istiadat, walaupun beliau merupakan kata pemutus berkaitan pembubaran DUN serta pemberian pengampunan.

Khoo berkata, calon Yang di-Pertua Negeri sewajarnya dinamakan berdasarkan kemampuan dan rekod mereka.