Dakwaan pemimpin Umno ditawar jawatan, Amanah ketuai Pemuda PH buat laporan SPRM

Timbalan Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin bersama-sama ketua Pemuda DAP Howard Lee dan exco Pemuda PPBM Abu Hafiz Salleh Hudin di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Tiga sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini susulan rakaman audio tidak disahkan mengaitkan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang didakwa menjanjikan jawatan kerajaan bagi menarik pemimpin Umno menyertai parti itu.

Timbalan Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin yang mengetuai kumpulan tersebut berkata, laporan itu dibuat kerana perbuatan itu jelas melanggar Akta SPRM 2009.

“Dalam video tersebut dengan terang dan jelas Muhyiddin merancang menggunakan kedudukan dalam kerajaan dengan menawarkan sogokan kedudukan dan jawatan sebagai menteri dan pengerusi GLC.

“Setakat ini tiada langsung mana-mana individu yang ditawar jawatan dan setelah mendapat jawatan tampil ke hadapan bagi melaporkan salah laku rasuah Muhyiddin.

“Terbukti selepas ‘rampasan kuasa’. Perikatan Nasional membahagi jawatan menteri dan GLC seperti yang dirancang oleh Muhyiddin dalam video tersebut.

“PN mengagihkan jawatan ini ala adegan perompak dalam filem Nujum Pak Belalang, membahagikan harta rompakan, ‘satu untuk kau, satu untuk aku’, ‘jawatan untuk kau, sokongan untuk aku’,” katanya ketika ditemui media ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Beliau turut mendakwa “perbuatan” Muhyiddin itu sebagai “memalukan” orang Melayu.

Ketika ditanya, adakah mereka membawa bahan bukti serta dokumen untuk diserahkan kepada SPRM, Sazni berkata, video yang tersebar itu sudah jelas dan pihaknya akan memaklumkan tentang pautan audio itu kepada pihak berkuasa.

“Kita rasa dalam audio itu telah jelas apa yang dibincangkan. Kita minta SPRM siasat kandungan audio tersebut.

“Kita akan beri (rakaman audio tersebut kepada SPRM). Bahkan ‘link’ audio tersebut masih ada di PPBM TV,”katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai perlantikan politik bagi menerajui GLC ketika pentadbiran PH, Sazni enggan mengulas lanjut, sebaliknya berkata, mereka menunggu penjelasan Muhyiddin susulan isu terkini itu berlaku di bawah PN.

“Kita tunggu PM sendiri jawab. Beliau boleh jelaskan. Saya percaya perkara ni dirancang seperti dalam audio tersebut,” katanya.

Turut hadir ialah ketua Pemuda DAP, Howard Lee serta exco Pemuda PPBM, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Tiada wakil PKR dilihat hadir.

Dalam rakaman audio yang tersebar di media sosial Sabtu lepas, Muhyiddin didakwa merancang untuk menawarkan kepada pemimpin Umno jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari, iaitu sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM.

PPBM kemudiannya meninggalkan PH, sekali gus mencetuskan krisis politik negara yang akhirnya mendorong Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Menurut rakaman itu, Muhyiddin menggalakkan pemimpin PPBM cuba meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menyokong parti itu, sekali gus menjadikannya parti Melayu terbesar dalam kerajaan jika usaha itu berjaya.