Jangan hanya siasat PPBM, siasat juga Shafie Apdal, kata Jeffrey Kitingan

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal juga perlu disiasat berhubung “kemelut ketua menteri” selepas pilihan raya umum 2018.

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengamalkan dwistandard dengan mendesak siasatan dibuat ke atas parti kerajaan di peringkat persekutuan, iaitu PPBM.

Beliau berkata, gabungan politik pembangkang itu juga harus menggesa siasatan dijalankan berhubung hal keadaan yang menyebabkan Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri Sabah pada 2018.

Kitingan berkata, jika pemimpin PH serius mengenai siasatan ke atas salah laku, maka mereka juga harus mendesak supaya siasatan dijalankan berhubung “kemelut ketua menteri” yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14.

Presiden STAR itu berkata, Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah 31 kerusi daripada 60 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas parti pimpinannya, yang merupakan pembangkang pada waktu itu, menyokong BN.

Beliau berkata, keputusan asal menunjukkan BN dan Warisan, termasuk PKR dan DAP, masing-masing memenangi 29 kerusi sebelum STAR, yang mempunyai 2 kerusi menyokong BN.

Katanya, pada 12 Mei, Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri menggantikan Musa Aman, yang mengangkat sumpah 2 hari sebelum itu.

“Hasilnya ialah kemelut ketua menteri.”

Kitingan mendakwa, beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bekerjasama secara tidak sah dengan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Rumah dan pejabat saya diserbu pada tengah malam,” katanya dengan menyifatkan langkah itu sebagai taktik untuk menakut-nakutkan.

Katanya, siasatan itu kemudiannya dibatalkan setelah beliau didapati tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Beliau berkata, di tengah-tengah perkembangan itu, timbalan ketua menteri Sabah Wilfred Madius Tangau, yang merupakan presiden Upko, “membawa 5 Adun dan mengubah sokongan daripada BN kepada Warisan.”

“Mereka bertanding dan memenangi kerusi masing-masing di bawah simbol BN, bukannya simbol mereka sendiri, iaitu Upko.”

Beliau berkata, hasilnya Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, sementara Tangau dilantik sebagai timbalan ketua menteri selepas dicalonkan sebagai Adun dilantik.

“Tangau tidak berhak dilantik sebagai menteri negeri apatah lagi timbalan ketua menteri sekiranya tidak dilantik sebagai Adun,” katanya, dengan menambah bahawa SPRM harus menyiasat perkara itu.