KKM akan syor buka lebih banyak sektor jika kes tempatan Covid-19 kekal 1 atau 2 angka

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya memberi kelonggaran kepada sektor lain seperti sukan dan pendidikan jika kes jangkitan Covid-19 tempatan kekal 1 atau 2 angka dalan tempoh seminggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai kemungkinan itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kementerian Kesihatan (sebelum ini) risau sekiranya berlaku peningkatan kes selepas Hari Raya.

“Jika kita lihat hari ini, kira-kira seminggu (selepas) Hari Raya, melihat data, tidak ada lonjakan mendadak. Oleh itu, tidak ada kesan atau peningkatan mendadak dalam kes Covid-19,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 pada minggu ini.

“Jika kes dikendalikan minggu ini tetap pada 2 digit, mungkin kita akan memberi nasihat kepada Majlis Keselamatan Negara dan perdana menteri, jika keadaan ini berlanjutan, 1 digit atau 2, kita akan longgarkan lebih banyak sektor,” katanya.

Tiada kematian baru akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan angka korban wabak berkenaan kekal 115 orang.

Dalam perkembangan sama, 38 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti seramai 7,857 orang sehingga kini.

“Ingin dimaklumkan daripada 38 kes baru yang dilaporkan, 26 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan tempatan, 6 kes adalah bukan warganegara dan hanya 6 kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” kata Noor Hisham pada sidang media yang sama hari ini.