Lebih 90% PPBM di Kelantan sokong Muhyiddin terajui kerajaan PN

Pengerusi PPBM Kelantan Kamarudin Md Nor berkata, negeri itu juga menyokong lankah pelucutan keahlian 5 pemimpin parti itu, termasuk Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Majoriti bahagian PPBM di Kelantan menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Daripada 14 bahagian di negeri itu, 13 daripadanya menyokong Muhyiddin, termasuk kedudukan beliau sebagai presiden dan pemangku pengerusi parti.

“Pimpinan negeri ingin mengulangi sikap kami untuk menyokong dan berdiri teguh bersama Mahyuddin selaku pemangku pengerusi dan presiden PPBM merangkap perdana menteri.

“Negara yang kini sedang berdepan dengan ancaman wabak Covid-19, berserta kesan buruk ekonomi yang memerlukan kepimpinan yang matang dan berpengalaman serta cakna rakyat dalam menangani masalah tersebut,” kata bahagian terbabit dalam satu kenyataan bersama yang disahkan oleh pengerusi PPBM negeri, Kamarudin Md Nor.

PPBM Kelantan berkata, Muhyiddin mempunyai kriteria kepimpinan yang baik dalam menerajui negara ketika berdepan wabak Covid-19.

“Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan beliau walaupun baru dibentuk 3 bulan yang lalu terbukti dapat membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Jemaah menteri di bawah kepimpinan Muhyiddin juga terbukti berjaya merancang pemulihan ekonomi negara.

“Oleh itu tidak wajar kedudukan beliau diganggu gugat bagi membolehkannya menumpukan fikiran, tenaga dan untuk menyelesaikan masalah negara,” kata kenyataan itu yang ditandatagani oleh kepimpinan PPBM negeri serta ketua bahagian Kota Bharu, Pasir Putih, Kubang Kerian, Rantau Pajang, Tanah Merah,Ketereh,Jeli, Tumpat, Pengkalan Chepa,Kuala Krai, Gua Musang,Pasir Mas dan Bachok.

Turut dinamakan dalam kenyataan sokongan itu ialah 2 ahli Parlimen PPBM Kelantan Mustapa Mohamed (Jeli) dan Ikhmal Hisyam Abd Aziz (Tanah Merah).

Kenyataan itu dibuat ketika meletusnya pergolakan antara kem Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad susulan pelucutan keahlian 5 pimpinan tertinggi parti itu baru-baru ini.

Selain Mahathir, 4 lagi yang lucut keahlian secara automatik ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun) , Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Keahlian mereka terhenti secara serta-merta kerana duduk di kerusi blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lepas.

Dalam pada itu, PPBM Kelantan juga akur dengan keputuan pengguguran keahlian 5 individu terbabit dengan berkata, ia dibuat mengikut pelembagaan parti.

“Kami ingin menegaskan bahawa PPBM adalah milik semua ahli parti bukannya milik mana-mana individu,” katanya.

Ketika dihubungi, Kamarudin memaklumkan hanya PPM bahagian Machang yang diketuai oleh Sazmi Miah tidak menandatangani sokongan tersebut.

“Hanya satu bahagian, iaitu Machang tidak tandatangan sokong,” katanya kepada FMT.

Sazmi sebelum ini diumum sebagai setiausaha kerja PPBM oleh kumpulan pro Mahathir.