Majikan perlu lebih banyak masa baiki standard tempat tinggal pekerja asing

FMM berkata, tempoh penangguhan 3 bulan tidak mencukupi bagi majikan membuat persediaan untuk memenuhi standard baru tempat tinggal bagi pekerja asing

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) meminta lebih banyak masa untuk mematuhi pindaan akta bagi memperbaiki standard tempat tinggal pekerja asing.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengumumkan kerajaan memberi majikan tempoh penangguhan 3 bulan sehingga 31 Ogos ini untuk memenuhi pindaan akta itu.

Bagaimanapun, Naib Presiden FMM, Nathan Suppiah berkata majikan mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persediaan diperlukan.

“Kami menggesa pihak berkuasa memberi lebih banyak masa, sekurang-kurangnya 6 bulan, untuk syarikat membetulkan dan menyusun semula berdasarkan keperluan undang-undang dan syarat tambahan di bawah prosedur standard.”

Katanya, peraturan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 hanya dijangka dikeluarkan minggu depan.

“Oleh itu, kecukupan tempoh penangguhan 3 bulan untuk mematuhi peruntukan akta akan bergantung kepada butiran dalam peraturan itu dan sejauh mana penyesuaian yang majikan perlu lakukan bagi memenuhi peraturan itu.”

Peraturan itu dijangka menyediakan butiran lebih banyak mengenai standard minimum keperluan perumahan, kemudahan, keselamatan dan kesihatan.

Pada 27 Mei lalu, Saravanan dilaporkan berkata, pindaan akta itu memperuntukkan standard minimum untuk keperluan ruang bagi tempat tinggal pekerja, kemudahan asas bagi perumahan dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan.

Suppiah berkata, jumlah besar pekerja asing di Malaysia membawa cabaran besar kepada majikan untuk memenuhi semua syarat, termasuk langkah berjaga-jaga tambahan yang diperkenalkan dalam prosedur standard.

Beliau menggesa majikan bertanggungjawab terhadap keselamatan pekerja kerana negara masih memerlukan pekerja asing pada masa depan disebabkan ramai rakyat tidak mahu melakukan kerja itu.

“Walaupun sektor pengeluaran lebih gemar mengambil pekerja tempatan, tetapi disebabkan sifat beberapa pekerjaan dan industri, majikan tidak mampu mendapatkan semua tenaga kerja meskipun banyak cara dan kaedah digunakan untuk merekrut pekerja tempatan.”