Pemimpin Pemuda DAP lapor SPRM dakwaan pemimpin Umno ditawar jawatan kerajaan

Teh Hoong Kiat menunjukkan laporannya yang dibuat di pejabat SPRM di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Kiat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengenai rakaman audio tidak disahkan mengaitkan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang didakwa menjanjikan jawatan kerajaan untuk menarik pemimpin Umno menyertai partinya.

“Seksyen 23 Akta SPRM menyatakan mana-mana penjawat awam yang menggunakan jawatannya untuk menawarkan bagi dirinya, keluarga atau orang di sekelilingya ialah melakukan jenayah.

“Saya harap siasatan akan dibuka secepat mungkin,” katanya di pejabat SPRM di sini.

Dalam rakaman audio yang mula tersebar di media sosial pada Sabtu lalu, Muhyiddin didakwa menawarkan pemimpin Umno jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Feb lalu – sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM.

Ramkarpal Singh (2 dari kanan) melihat laporan yang dibuat Teh Hoong Kiat (kiri) sambil diperhatikan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (3 dari kiri).

PPBM kemudiannya meninggalkan PH, mencetuskan krisis politik yang menyebabkan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Teh berkata, beliau juga akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh yang menemani Teh, berkata tugas pertama pihak berkuasa ialah mengesahkan ketulenan rakaman audio itu.

“Jika terbukti betul, ia menjadi sangat serius kerana tawaran dan penerimaan jawatan dianggap satu bentuk rasuah di bawah Akta SPRM 2009.”

Menurut rakaman itu, Muhyiddin menggalakkan pemimpin PPBM cuba meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menyokongnya. PPBM akan menjadi parti Melayu terbesar dalam kerajaan jika mereka berjaya, beliau didakwa berkata demikian.

FMT sedang menunggu respons daripada setiausaha akhbar Muhyiddin.