Perlu data tentang ketidaksamaan digital, kata penyelidik kemiskinan

Akses internet harus sama bagi penduduk bandar dan luar bandar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas akademik menggesa Putrajaya meula mengukur “ketidaksamaan digital” bagi merapatkan jurang antara golongan yang ada akses ke dunia digital dan golongan tiada akses, termasuk miskin bandar dan di luar bandar.

Denison Jayasooria, yang mengkaji kemiskinan bandar, berkata ini akan membolehkan pentadbiran persekutuan dan negeri merancang cara merapatkan jurang dan memperuntukkan dana pembangunan ke mana wang diperlukan.

Beliau mengulas seruan seorang menteri muda Sarawak menyeru kerajaan persekutuan menggiatkan usaha membangunkan prasarana internet di kawasan luar bandar.

“Ketidaksamaan digital ada kaitan yang kuat dengan ketidaksamaan pendidikan, dan ini terpakai pada semua orang daripada kanak-kanak hingga orang dewasa,” kata Jayasooria, yang dahulunya berkhidmat di Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kerajaan boleh menetapkan gaji minimum supaya anda peroleh pendapatan secukupnya untuk hidup. Tetapi potensi untuk kerjaya anda berkembang adalah terhad tanpa kesamaan dalam pendidikan, jika anda berpendapatan gaji minimum.”

Beliau berkata pendidikan hari ini tidak terhad kepada pengajaran formal kerana pengetahuan dan kemahiran boleh dipelajari secara dalam talian.

Beliau berkata Malaysia memperkenalkan petunjuk kemiskinan pelbagai dimensi bagi mengukur kemiskinan dari segi pendidikan, kesihatan, taraf hidup, dan pendapatan, setiap satunya mempunyai 11 petunjuk.

“Tetapi tiada satu pun mengukur jurang digital. Petunjuk tidak mengukur kekurangan orang di luar bandar dan miskin bandar dalam hal akses dunia digital.”

Jayasooria berkata ukuran jurang digital akan membantu kerajaan persekutuan dan negeri memastikan akses di kawasan luar bandar dan untuk miskin bandar.

“Di Kuala Lumpur, anda mungkin ada liputan internet yang baik tetapi keluarga di rumah pangsa kos rendah mungkin tidak mampu melanggan internet atau beli telefon untuk anak belajar,” katanya.

“Akses internet harus sama.”

Beliau menyeru pendekatan terpencar dalam urusan melibatkan pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat, dan kumpulan sukarelawan.

“Daripada memberikan kontrak lumayan kepada sebuah perbadanan untuk membekalkan peranti atau membangunkan prasarana, kerajaan patut menggunakan perusahaan bermatlamat kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan untuk mengepalai usaha itu dan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk melaksanakan inisiatif khusus.”