Saya hanya rujukkan perkara itu kepada Peguam Negara, kata Guan Eng

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengalu-alukan siasatan SPRM berkait tindakannya mengenai akun bank seorang taikun hartanah.

PETALING JAYA: Menjawab dakwaan bahawa beliau meminta akaun bank seorang taikun tidak dibekukan, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata, beliau hanya merujukkan perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara.

Portal Malaysiakini memetiknya berkata: “Kes di luar bidang kuasa saya dirujukkan kepada pihak berkuasa berkaitan. Pihak berkuasa berkaitan mempunyai kuasa untuk bertindak”.

Beliau mengambil maklum bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil tindakan segera berhubung laporan FMT mengenai perkara itu pagi tadi dan berkata, SPRM “harus dibenarkan menjalankan siasatannya”.

Laporan FMT pagi tadi yang didasarkan kepada dokumen yang dilihat olehnya menyebut, Lim meminta Pejabat peguam Negara melepaskan sekatan yang dikenakan ke atas akaun bank seorang pemaju hartanah setelah ia dibekukan berikutan penyiasatan mengenai pengubahan wang.

Laporan itu menyebut, Lim memperoleh respons positif daripada Peguam Negara, Tommy Thomas, ketika itu, yang kemudiannya mengarahkan SPRM melepaskan kesemua 4 akaun bank daripada dibekukan.

Lim tidak menjawab permintaan FMT untuk komen.

Beliau bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa Thomas telah mengambil langkah wajar apabila kes itu dirujukkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Lim berkata, adalah salah sekiranya beliau tidak merujukkan kes sedemikian kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Saya tidak mempunyai akses kepada maklumat atau dokumen seperti FMT yang nampaknya mempunyai akses penuh mengenai perkara itu,” katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahya mengesahkan bahawa agensi itu menarik balik sekatan ke atas akaun taikun terbabit seperti diarahkan oleh peguam negara pada masa itu.

Beliau juga berkata, agensi itu juga akan menyiasat bagaimana maklumat terperinci siasatannya berhubung wang RM4 juta yang diterima oleh taikun berkenaan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedahkan kepada seorang ahli politik.

Laporan FMT menyebut, wujud komunikasi antara Lim dengan Thomas mengenai 4 akaun bank yang dibekukan kerana RM4 juta transkasinya berkait dengan dana 1MDB.

Sumber FMT memberitahu wujud konflik kepentingan dan Lim berbuat demikian “walaupun gagal mendapatkan semula sebahagian besar wang tersebut”.

Sejumlah 21 keping cek berjumlah RM4 juta daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, didakwa didepositkan ke dalam akaun CIMB milik taikun berkenaan.

Bagaimanapun pun ia hanya berbaki RM76,000 apabila pembekuan akaun ditarik balik.

Laporan mengenai akaun bank taikun berkenaan timbul beberapa minggu selepas Tommy Thomas dibidas berhubung keputusan mahkamah melepaskan dengan syarat anak tiri Najib, Riza Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang berkait dana 1MDB yang digunakan dalam penerbitan filem Hollywood berjudul “The Wolf of Wall Street.

Menurut persetujuan yang dicapai dengan pihak pendakwaan, Riza dikehndaki mengembalikan kira-kira AS$100 juta atau 40% daripada dana 1MDB yang diterima oleh beliau.