Tentera udara wujud skuadron baru pesawat tanpa pengendali

Pesawat tanpa pemandu MQ-9 adalah antara model yang dipercayai akan diperoleh oleh TUDM. (Gambar General Atomics)

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan skuadron baru untuk pengoperasian sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) dalam tempoh terdekat.

Panglima TUDM Jen Ackbal Abdul Samad berkata, skuadron UAS itu akan mengambil alih perjawatan No 11 Skuadron yang dikhususkan bagi pesawat SU-30MKM dengan skuadron jet pejuang pula akan diperjawatkan dengan perjawatan No 12 Skuadron.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Ulang Tahun TUDM yang ke-62 hari ini yang bertemakan “Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga” di laman rasmi Facebook TUDM.

Sementara itu dari segi atur gerak aset udara menurutnya, TUDM mengadakan lebih 42 misi penghantaran udara membawa 270 tan keperluan, antaranya barangan perubatan, spesimen klinikal tambahan dan pakaian perlindungan PPE untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan di Sabah dan Sarawak.

Panglima TUDM Jen Ackbal Abdul Samad.

“Kesemua misi penghantaran udara ini dapat dilaksanakan dengan lancer, sekali gus membuktikan TUDM sentiasa bersedia, komited dan sentiasa dalam keadana siap-siaga sebilang masa,” katanya.

“Aset-aset TUDM diatur gerak untuk membuat pengawasan dan rondaan udara di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu.

“TUDM berjaya mengesan beberapa buat bot warga asing di perairan Selat Melaka dengan ratusan imigran,” kata Ackbal sambil mengucapkan tahniah kepada kesemua warga yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Pada 16 April, dilaporkan tindakan pantas pesawat Hercules C-130 dari Pangkalan Udara Subang berjaya mematahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan negara.

Selain itu, mengenai pelan transformasi “Air Force Next Generation” selama 10 tahun yang tamat pada hujung tahun 2020, beliau berkata, ia akan disusuli dengan satu pelan strategik baru, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaaan TUDM 2055 (CAP55).

Beliau berkata, CAP55 merupakan pelan jangka panjang selama 35 tahun yang merangkumi pembangunan keupayaan, penstrukturan semula aset ketumbukan dan sumber manusia.

“CAP55 fasa 1 akan bermula pada Januari tahun depan,” katanya.