Terima pelucutan keahlian, Pemuda PPBM Sabah beritahu Syed Saddiq

eahlian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam PPBM dilucutkan bersama-sama 4 yang lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad, minggu lepas.

KOTA KINABALU: Pemuda PPBM Sabah hari ini menggesa bekas ketua pemuda kebangsaannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menggunakan nama sayap parti itu dengan berkata, beliau seharusnya menerima pelucutan keahliannya dan “melangkah terus” kerana keputusan itu dibuat selari dengan perlembagaan PPBM.

Ketua Pemuda PPBM Sabah Isquzawan Israq Arsit berkata, Syed Saddiq, yang keahliannya dilucutkan bersama-sama beberapa pemimpin lain, dihormati atas kepimpinannya sewaktu memegang jawatan menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“(Bagaimanapun) kami berharap beliau terima kenyataan. Lebih baik beliau dan penyokong tidak terus menggunakan nama Pemuda PPBM pusat kerana ia akan mengelirukan anggota sayap pemuda parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Isquzawan Israq Arsit

Syed Saddiq, yang merupakan ahli Parlimen Muar, adalah antara 5 ahli Parlimen PPBM yang lucut keahlian parti secara serta-merta Khamis lepas kerana duduk di kerusi blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lepas.

Turut lucut keahlian ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malek.

Setiausaha agung PPBM Hamzah Zainuddin mempertahankan keputusan pelucutan keahlian itu dengan berkata, ia dibuat berdasarkan perlembagaan parti kerana kepentingan parti mengatasi kepentingan mana-mana individu.

Beliau berkata, perlembagaan parti menetapkan bahawa keahlian mana-mana individu terhenti secara serta merta jika ia keluar parti atau menyertai parti lain.