3 pendakwa raya di P Pinang ditahan dalam siasatan rasuah RM100,000

GEORGE TOWN: Tiga timbalan pendakwa raya di Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas menerima aduan mereka meminta rasuah RM500,000 membabitkan satu kes jenayah komersial.

Ketiga-tiga lelaki terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Alor Setar untuk perintah reman pada pagi ini.

Satu sumber yang dekat dengan kes itu berkata, SPRM bertindak memerangkap salah seorang pendakwa raya terbabit dengan berpura-pura menjadi pihak berminat yang sedia menawarkan RM100,000 untuk perkhidmatannya.

Pendakwa raya itu, yang dipercayai berpangkat peguam kanan persekutuan, didakwa menerima wang itu dalam mata wang yang sudah ditandakan daripada pegawai samaran SPRM menyebabkan dia segera ditahan.

Dua lagi pendakwa raya ditahan di pejabat SPRM Kedah di Alor Setar, selepas mereka dipanggil untuk memberi keterangan.

Kedua-dua lelaki berkenaan adalah kakitangan Jabatan Peguam Negara di Pulau Pinang. Salah seorang daripadanya memegang “jawatan yang sangat senior”, kata sumber itu.

Pegawai SPRM kemudian merampas barangan dari pejabat pendakwa raya itu dan menemui wang tunai yang tidak diketahui jumlahnya di rumah mereka dan barangan lain yang boleh digunakan terhadap mereka dalam kes terbabit.

Sumber itu berkata, ketiga-tiganya mungkin menjalankan sindiket untuk memperbaiki kes bagi “tempoh sangat lama”.

SPRM menerima satu aduan pada 16 Mei lalu yang mendakwa seorang pendakwa raya meminta RM500,000 “untuk memastikan kejayaan pendakwaan” terhadap individu tertentu.

Ketua SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap enggan mengulas, tetapi mengesahkan penahanan 3 lelaki itu.