Indonesia batal penghantaran jemaah haji tahun ini

Arab Saudi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sehingga melarang sebarang ibadat di Masjidil Haram.

JAKARTA: Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia, memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji bagi tahun 1441H.

Menteri Agama Indonesia Facrul Razi dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berikutan pandemik Covid-19 ketika ini masih mengancam penduduk seluruh dunia, termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

Pada tahun lepas, kuota jemaah haji dari Indonesia adalah berjumlah lebih 231,000 jemaah.

“Selain soal keselamatan, kebijakan (dasar) ini diambil kerana, hingga saat ini Arab Saudi masih belum membuka akses layanan Penyelenggaraan Ibadah Haji 1441H/2020M.

“Akibatnya, pemerintah Indonesia (pasti) tidak memiliki cukup waktu untuk melakukan persiapan, bagi penghantaran jemaah haji (untuk tahun ini sekiranya ibadah haji dibenarkan Arab Saudi),” katanya.