Kes tampar anggota polis, Farid Kamil dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan

Farid Kamil didapati bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak. (Gambar Bernama)

Susulan kes pelakon Farid Kamil dengan seorang anggota polis Januari lalu, mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan.

Hukuman itu dijatuhkan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis.

Pelakon berusia 39 tahun itu bertindak sedemikian pada 11 Januari 2019 1.20 tengah hari di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Farid didakwa menghalang Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan balai polis terbabit.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman apabila pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.”

“Oleh itu, mahkamah mendapati Farid Kamil bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak.”

Namun, Farid dibenarkan menangguh pelaksanaan hukuman dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]